Tiada peruntukan baiki jalan balak di Pensiangan

Tiada peruntukan baiki jalan balak di Pensiangan

KEADAAN jalan yang terputus akibat tanah runtuh di Pensiangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NABAWAN: Kerajaan Negeri Sabah wajar mewartakan jalan-jalan kampung yang asalnya laluan balak bagi membolehkan peruntukan disalurkan untuk tujuan naik taraf dan pembaikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohd. Yassin berkata, isu agar tanah itu dirizabkan sebagai hak kerajaan sudah disuarakan beberapa kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri dan Kementerian Kerja Raya Sabah juga telah mengenal pasti jalan-jalan berkaitan.

Katanya, pada masa ini laluan balak itu merupakan jalan utama yang digunakan penduduk kampung di Pensiangan dan Pagalungan.

“Jalan-jalan ini sudah biasa digunakan oleh penduduk setempat jadi, apabila jalan balak ini mengalami kerosakan, kita terpaksa mencari dana untuk memperbaikinya sebab jalan ini belum diiktiraf dan diwartakan oleh kerajaan.

“Misalnya dari Pagalungan ke Kampung Saliku, Sekolah Kebangsaan (SK) Lotong ke Pekan Pensiangan serta Pekan Pensiangan ke Kampung Salinatan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, apabila laluan di sepanjang jalan balak itu terputus akibat tanah runtuh, tiada peruntukan disediakan bagi penyelenggaraan.

Buat sementara waktu ini, pihak ladang seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang membantu memperbaiki jalan yang mengalami runtuhan seperti di Pagalungan, Kampung Lumiri ke Kampung Pohon Batu dan Kampung Pengaraan.

Menurut beliau, secara keseluruhan jalan-jalan balak yang berada di Pensiangan dan Nabawan adalah sepanjang 300 kilometer.

Pengerusi SLDB itu berkata, sebagai wakil rakyat kawasan, beliau dan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup sentiasa berusaha untuk membantu memperbaiki laluan yang mengalami tanah runtuh.

“Apabila ada jalan runtuh atau jambatan rosak, ada kalanya orang kampung terpaksa bergotong-royong memperbaiki kerosakan itu.

“Baru-baru ini, Arthur telah meluluskan peruntukan one-off bagi menyelenggara Jalan Pensiangan ke Kampung Salinatan. Peruntukan itu sekali sahaja, jika ada kerosakan pada masa akan datang maka, mereka perlu mendapatkan peruntukan lain,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×