SEREMBAN: Krisis melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memasuki babak baharu apabila Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuat kuasa serta-merta.
Sepuluh Exco yang pelantikannya dibatalkan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Keputusan itu dibuat selepas Baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan susulan tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu berhubung proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar bertarikh 19 April 2026.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan kesemua 10 Exco terbabit masih sah menjalankan tugas masing-masing dan tiada keperluan mengemukakan senarai pelantikan baharu.
Percanggahan pendirian itu kini mencetuskan persoalan mengenai status sebenar anggota MMKN berkenaan dan kuasa masing-masing dalam meneruskan pentadbiran negeri.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, setiap Exco terbabit telah dimaklumkan mengenai pembatalan pelantikan melalui warkah.
Katanya, kesemua mereka sebelum itu mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai MMKN.
“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.
Azizi berkata, berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Ahli MMKN memegang jawatan selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan itu, katanya, Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon Ahli MMKN yang baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) UUTKNS 1959.
Namun, Ismail berpandangan sebaliknya apabila menegaskan kesemua Exco berkenaan masih sah menjalankan tugas.
Menurut beliau, pendirian kerajaan negeri dibuat berdasarkan tafsiran terhadap UUTKNS 1959, khususnya berkaitan kuasa eksekutif kerajaan negeri dan kedudukan Exco.
Katanya, Perkara 40(1) UUTKNS 1959 menetapkan Yang di-Pertuan Besar hendaklah bertindak mengikut nasihat Menteri Besar dan MMKN dalam menjalankan fungsi pentadbiran negeri.
“Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar yang dinyatakan di bawah Perkara 40(2) pula hanya meliputi perkara yang diperuntukkan secara bertulis dan tidak merangkumi kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ismail berkata, Perkara 38(5) yang menyentuh perkenan Yang di-Pertuan Besar terhadap tempoh perjawatan Exco tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
Beliau menegaskan tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian mana-mana Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
“Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.
Perkembangan itu berlaku selepas semua Exco terbabit sebelum ini menyatakan pendirian bahawa proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa. Pendirian tersebut turut disahkan Ismail pada 17 September lalu. – UTUSAN











