Klang Sentral sepi, dikuasai warga asing

Terminal Bas Klang Sentral sepi, ruang niaga dikuasai warga asing

TERMINAL BAS KLANG SENTRAL -UTUSAN./ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Terminal Bas Klang Sentral yang suatu masa dahulu sibuk dengan orang ramai dengan pelbagai jenis perniagaan runcit kini sepi manakala peniaga warga asing semakin meningkat.

Difahamkan, jumlah bas untuk pengangkutan dalam negeri juga berkurangan selain kedudukan terminalnya yang agak terpencil, jauh dan sukar diakses orang ramai untuk mendapatkan pengangkutan antara bandar berbanding di Shah Alam.

Terminal yang menelan kos kira-kira RM300 juta dan dibina pada 2008 itu diibaratkan ‘hidup segan, mati tidak mahu’.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini mendapati kawasan terminal berkenaan lengang dengan hanya beberapa perniagaan sahaja yang dibuka.

Terminal bas dua tingkat itu juga tidak digunakan sepenuhnya apabila tingkat atas terminal berkenaan kosong dan ditinggalkan tanpa penyelenggaraan sejak beberapa tahun lalu.

Tiada kawasan letak kenderaan khas untuk bas dan kebanyakannya diletakkan di tepi jalan.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, tiada perhatian diberikan kepada terminal bas tersebut dan segala kemudahan yang disediakan juga tidak diselenggara bertahun lamanya.

Katanya, inisiatif pemulihan yang dilakukan pada terminal tersebut adalah daripada usaha persendirian demi membela kebajikan pekerja kedai dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas di situ.

“Penyelenggaraan kemudahan surau juga dilakukan oleh saya, segala kerosakan seperti permaidani, pintu akan ditukar dan keperluan solat seperti sejadah, telekung ada disediakan.

“Saya terpaksa sediakan tabung khas surau untuk kutip dana bagi menanggung segala kos penyelenggaraan kerana tak mampu dan tiada yang membantu,” katanya yang menjalankan perniagaan runcit.

Terminal Bas Klang Sentral yang dibina atas tanah berkeluasan 83 hektar itu mula beroperasi pada 27 Disember 2008.

Namun, dengan setiap masalah berbangkit, kini terminal tersebut menghadapi krisis apabila pengurangan penumpang yang ketara.

Sementara itu, peniaga di situ juga berkata, peniaga kedai makanan di sekitar kawasan tersebut juga dimonopoli oleh warga asing yang mana pemilikan lesen perniagaan menjadi tanda tanya dan masih tiada penyelesaian.

“Disebabkan itu, saya buka sebuah kafe bersebelahan kedai untuk penumpang yang memerlukan makanan selain dari kedai makanan sekitar yang disediakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN