‘Tenggelamnya’ projek pelancongan Tasik Pedu - Utusan Malaysia

‘Tenggelamnya’ projek pelancongan Tasik Pedu

PEMANDANGAN kawasan yang suatu ketika dahulu sebuah perkampungan sebelum dijadikan Empangan Tasik Pedu. – MINGGUAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Tasik Pedu yang berkeluasan kira-kira 52 kilometer persegi dan sedalam 60 meter merupakan tasik buatan manusia terbesar yang dibina di Kedah pada 1966.

Ia dibina bagi tujuan peng­airan tanaman padi di negeri ini dan Perlis.

Kawasan yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari Alor Setar itu siap dibangunkan pada 1969 sebelum dirasmikan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Walaupun laluan ke tasik itu berliku selain bahu jalannya ‘ditemani’ hutan belantara, ia bukan penghalang pencinta alam menikmati flora dan fauna serta pemandangan yang memukau di kawasan bersempadan dengan Thailand itu.

Menyedari potensi Tasik Pedu sebagai tarikan pelancongan di Kedah, kerajaan pada waktu itu mempelbagai kegunaannya pada 1992 sehingga menerima kunju­ngan ramai pelancong.

Ia termasuk pembinaan hotel dan chalet bertaraf antarabangsa dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk lapangan golf 18 lubang yang menjadi tarikan utama pe­ngunjung menginap di Tasik Pedu.

Bermula dengan Holiday Inn Pedu Lake Resort yang menyediakan ratusan bilik sebelum diambil alih oleh Mutiara Pedu Lake and Golf Resort, ia dibuka secara rasmi kepada pelancong pada 1995.

Malah Desa Utara Resort dan Anjung Pedu Lake Resort Seri Ne­geri yang melengkapi kemudahan penginapan di tasik berkenaan mendapat sambutan meriah ketika itu termasuk pelancong dari Eropah, Taiwan dan Hong Kong.

Disangkakan ‘panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari’. Usia pelancongan Tasik Pedu hanya mampu bertahan pada umur ‘remaja’ apabila kawasan pelancongan itu ditutup sepenuhnya pada 2010.

STRUKTUR bangunan hotel dan chalet bertaraf lima bintang yang terbiar di Tasik Pedu.

GAGAL MEMAHAMI TUJUAN SEBENAR TASIK PEDU

Penutupan hotel-hotel ber­kenaan mengejutkan ramai pihak walaupun sesetengahnya sudah menjangkakan detik itu setelah Anjung Pedu Resort milik kerajaan negeri ditutup lebih awal.
Mutiara Pedu Lake and Golf Resort pula ditutup pada 8 Januari 2007 iaitu seminggu selepas Desa Utara Resort ditutup.

Seorang penduduk tempatan, Amir Wahab, 50, yang menjadi sebahagian daripada sejarah pembukaan dan penutupan kawasan pelancongan Tasik Pedu antara yang hilang mata pencarian.

Bekas eksekutif di Desa Utara Resort yang bermula sebagai pekerja am di Holiday Inn Pedu Lake Resort itu berkata, tempoh pengoperasian yang hanya menjangkau 15 tahun menggambarkan kelemahan pihak terlibat memahami fungsi utama tasik itu.

“Pertamanya saya melihat kelemahan aspek pembangunan yang tidak dikaji sepenuhnya sebelum membangunkan resort mewah di situ, ini kerana penggunaan air di Tasik Pedu sangat ekstrem iaitu untuk kegunaan pertanian sawah padi.

“Sepatutnya perlu diambil kira paras air kalau mahu bina resort, kena berada lebih tinggi ketika paras air mencapai tahap maksimum. Air tidak boleh dilepas selalu ke sawah padi apabila semakin naik kerana ia memberi masalah pula kepada petani.

“Tasik Pedu tidak sama seperti Tasik Banding (Perak) dan Tasik Kenyir (Terengganu) yang digunakan untuk hidroelektrik dan perlu ditakung air sehingga paras maksimum setiap masa. Beza di sini untuk kegunaan padi, ada masa kena lepas dan ada ketika perlu ditakung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Katanya, setelah masalah demi masalah timbul termasuk 12 daripada 18 lubang golf yang ada di situ ditenggelami air, seri tarikan di Tasik Pedu makin berkurang.

Akibatnya, dia yang kini meng­usahakan rumah bot di tasik itu berkata, pihak pengurusan ‘pening kepala’ memikirkan kos pembaikan chalet yang kebanyakannya berstruktur kayu setelah tenggelam dalam tempoh lama.

“Pihak resort sering mengadu kawasan penginapan mereka tenggelam tapi itulah puncanya gagal memahami tujuan sebenar pembinaan Tasik Pedu yang saya boleh kategorikan sebagai kesilapan teknikal dan akhirnya berdepan masalah kewangan.

“Kemuncaknya pada 2010, ke­seluruhan kawasan pelancongan Tasik Pedu ‘melabuhkan tirai’ dan kembali kepada fungsi utama iaitu sebagai kawasan tadahan untuk pengairan pertanian di bawah selia­an Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya.

KUBUR LAMA GUSARKAN PELANCONG

Sebelum pembinaan Tasik Pedu, beberapa penempatan penduduk terdapat di kawasan itu antaranya Kampung Mong Gajah yang turut memiliki kawasan perkuburan, dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Jika mengikut cerita orang dahulu, sebelum empangan dibina, orang Islam dari Pattani, Thailand yang ingin menunaikan ibadat haji akan melalui kawasan berkenaan untuk ke Pulau Pinang bagi menaiki kapal laut ke Mekah.

Kegemparan dalam kalangan pelancong tentang pe­nemuan semula kubur lama yang masih bertanda batu nisan ketika musim kemarau mula merisaukan mereka yang mengaitkan kejadian itu membawa nasib buruk.

Meskipun berlaku pada 2005 iaitu dua tahun sebelum dua hotel mewah terakhir ditutup, ramai beranggapan penyusutan ketara pelancong turut berpunca daripada penemuan kubur itu.

Pada 2016, ketika negara dilanda El Nino, keadaan tasik yang kering-kontang menampakkan tanah perkuburan lama. Ia memberi peluang kepada waris menziarahi kubur itu walaupun tidak dapat memastikan liang lahad nenek moyang masing-masing.

Pada Februari 2020, kemarau berpanjangan menampakkan semula daratan sehingga timbul Kampung Mong Gajah dan kawasan perkuburan yang menggamit kehadiran orang ramai melihat sejarah yang ‘tenggelam’ di Tasik Pedu.

PENDUDUK TEMPATAN HILANG PEKERJAAN

Kawasan pelancongan Tasik Pedu kini hanya tinggal nama dan serpihan bangunan-bangunan lama kawasan resort sudah dilitupi hutan belantara serta tidak lagi dikunjungi orang ramai kecuali yang mahu mendaki di Gunung Fakir Terbang dan Gunung Kerengga.

RUMAH Bot Seri Mahawangsa dan Survival Island yang menjadi tarikan pengunjung ke Tasik Pedu.

Bagi sesetengah peminat mistik, kawasan sekitar Tasik Pedu dan tapak hotel mewah berkenaan dikatakan menjadi antara lokasi untuk mereka ‘memburu’ hantu.

Banyak kandungan media sosial yang dicipta juga memaparkan kawasan tasik itu kononnya sebagai tempat yang misteri apatah lagi dengan mengaitkan penemuan kubur-kubur lama.

Melihat kepada jumlah pelaburan sehingga mencecah RM200 juta bagi projek pemba­ngunannya, kawasan pelancongan Tasik Pedu sepatutnya menjadi destinasi tersohor dan penyumbang ekonomi Kedah.

Namun bukan sahaja gagal berada dalam senarai destinasi pelancongan negara, ia terkubur begitu sahaja dan hanya menjadi tempat yang penuh misteri.

Antara yang berkhidmat sehingga kawasan pelancongan itu ditutup adalah penduduk Kampung Tanjung Luar, Mohd. Nazri Mokhtar, 43, yang mula menjadi tukang masak di Holiday Inn Pedu Lake Resort pada 1997.

“Selepas tamat persekolahan pada 1997, saya bekerja di situ. Masa itu ramai orang, memang meriah kerana setiap hari penuh tetamu dan dapur pun tak pernah berhenti menyediakan tempahan.

“Tapi sayangnya melihat tempat saya mula-mula mencari rezeki itu kini ditutup, tiada lagi orang dan rasa sayu setiap kali pergi berjalan-jalan di sana. Saya harap tempat itu boleh dibuka semula agar dapat ramai anak muda khususnya bekerja di sana,” katanya.

Dalam pada itu Amir berkata, kesan penutupan hotel dan resort bukan sahaja menjadikan kawasan sekitar sunyi bahkan menjejaskan lebih 600 pekerja terutama yang tinggal di Padang Terap, Sik dan kawasan berdekatan.

“Rantaian ekonomi yang dinikmati penduduk ketika kawasan ini menjadi tarikan lenyap begitu sahaja. Ramai bekas pekerja yang masih terus kerja dalam bidang perhotelan dan ada yang menceburi bidang lain,” katanya.

Namun dia tidak me­­nyalahkan takdir semata-mata, dengan melihat satu sisi positif daripada penutupan kawasan pelancongan tersebut iaitu menjadikannya seorang usahawan yang masih berkaitan pelanco­ngan di Tasik Pedu.

“Boleh dikatakan ada hikmah dengan penutupan resort tempat saya bekerja dahulu kerana pada 1996 saya sudah mula berjinak-jinak memelihara ikan dalam sangkar di bawah Jabatan Perikanan.

“Apabila hotel ditutup, saya mula serius membangunkan rumah bot berkonsepkan agro pelancongan di bawah MADA sejak 2013 hingga kini dan menjadi satu-satunya operator yang menawarkan perkhidmatan di Tasik Pedu,” katanya.

RUMAH BOT ‘PENYERI’ TASIK PEDU

Kini sebagai pengusaha tunggal di tasik berkenaan, Amir yakin mampu bertahan dalam perniagaannya kerana memiliki nilai sentimental tinggi terhadap Tasik Pedu memandangkan statusnya sebagai penduduk tempatan.

“Saya belajar daripada penga­laman dan kesilapan lalu dengan mewujudkan rumah bot yang boleh beroperasi setiap masa mengikut paras air. Malah terdapat salah satu pulau di tasik ini yang boleh didiami pelancong.

“Pada satu-satu masa, kira-kira 40 pengunjung boleh menginap di pulau ini sama ada di rumah pokok dan chalet-chalet yang dilengkapi tandas dan ruang solat yang selesa serta boleh juga berkhemah.

“Saya menerima banyak tempahan terutama pada hujung minggu, sama ada daripada kumpulan-kumpulan yang hanya mahu bersantai kepada agensi serta jabatan kerajaan dan pihak swasta yang mahu mengadakan team building di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN