JERANTUT: Seorang peneroka di Felda Kota Gelanggi Dua di sini terpaksa menangguhkan hasratnya menyiapkan rumah baharu berikutan perbelanjaan dihabiskan untuk pembiayaan perubatan isterinya, Zuriah Md. Noor, 57, yang menderita penyakit kanser payu dara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka terbabit, Mohd. Azli Sulaima, 58, berkata, sehingga kini, dia sudah pun membelanjakan hampir RM45,000 membeli peralatan pembinaan bagi membina sendiri kediamannya yang dianggarkan bernilai RM80,000.
“Oleh kerana isteri saya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat, mahu tidak mahu saya terpaksa menangguhkan pembinaan rumah ini kerana kesemua wang simpanan terpaksa digunakan untuk berulang alik rawatan di hospital dan membeli ubat yang sangat mahal.
“Sejak isteri mula disahkan menghidap kanser tahap tiga pada Oktober 2022 dan dibedah, sehingga ini saya sudah berbelanja hampir RM20,000 berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh untuk rawatan, menjalani kimoterapi, pengangkutan dan penginapan menunggu isteri dan membeli ubat,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Menurut Mohd. Azli, dia berdepan kesulitan kewangan untuk membiayai perubatan isterinya kerana dalam tempoh ini cuma memperoleh kira-kira 40 tandan sawit yang dijual dengan harga RM600 dan cuma berbaki RM400 setelah ditolak upah buruh dan sewa lori ke kilang.
Sementara itu, Zuriah berkata, keadaannya kesihatannya semakin menurun selepas pembedahan sehingga dia kemudiannya dirujuk ke Hosptal Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan penyakitnya sudah berada di fasa tahap empat pada bulan Februari tahun ini.
“Doktor memberitahu pada tahap empat, kanser sudah merebak ke tulang belakang dan tulang rusuk yang memerlukan rawatan susulan dan juga memakan ubat.
“Doktor mengesyorkan saya makan dua jenis ubat yang sejenisnya berharga RM250 untuk tempoh sebulan, manakala sejenis lagi berharga RM3,000 untuk tempoh yang sama menyebabkan saya tidak mampu lagi hanya reda dengan penderitaan ini,” katanya.
Menurutnya, dia tidak mampu mendapatkan wang RM3,000 sebulan untuk membeli ubat itu setelah wang simpanan termasuk hasil sawit habis dibelanjakan untuk tujuan perubatan penyakit itu sejak tahun lalu.
Dia berkata, keadaannya sehingga kini terlalu lemah, tidak berselera makan, selalu jatuh, ingatannya kerap terlupa dan tidak boleh berjalan.
Katanya, dia pernah bekerja di Kilang Alps Bandar Pusat Jengka pada 1996 hingga 1997 juga mencarum di sebuah pertubuhan sosial, tetapi cuma menerima sejumlah pampasan yang tidak seberapa namun bersyukur atas perhatian pihak berkenaan.
“Sebelum ini, saya juga memohon bantuan Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu (Muip) dan kemudiannya diberikan RM1,000 untuk tempoh enam bulan sekali masih tidak mampu membeli ubat berkenaan. Apapun saya berterima kasih kepada Muip,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Zuriah menerusi talian 011 l24630292 atau terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220301388881 (Zuriah Md. Noor).-UTUSAN










