Tajaan Pendidikan PETRONAS ubah hidup, serlah kehebatan Idris

Tajaan Pendidikan PETRONAS ubah hidup, serlah kehebatan Idris

Idris Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Impian seorang remaja kampung daripada keluarga miskin yang mahu bergelar ahli geologi berjaya direalisasikan apabila menerima tawaran Tajaan Pendidikan Petronas pada 41 tahun yang lalu.

Idris Ibrahim, 59, dari Kampung Chuar, Kati di Kuala Kangsar, Perak berkata, tawaran biasiswa yang diterima setelah tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) umpama ‘bulan jatuh ke riba’ untuk menggapai cita-citanya ketika itu.

Menurutnya, motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh mula timbul sejak berada di sekolah rendah kerana dia sedar hanya dengan pendidikan mampu mengubah kehidupan keluarganya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Daripada seorang anak kampung yang hidup dalam keluarga miskin, Idris Ibrahim kini mengetuai Institut Teknologi PETRONAS (INSTEP). – UTUSAN/PUQTRA HAIRY

Beliau berkata, pendapatan bapanya, Ibrahim Muhamad sebagai tukang gunting rambut hanya sekitar RM250 hingga RM300 sahaja sebulan manakala ibunya pula, Rafeah Manap membanting tulang melakukan pelbagai kerja kampung untuk membantu menampung perbelanjaan keluarga.

“Susahnya hidup ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu hinggakan saya terpaksa menjual telur ayam kampung dengan harga 10 sen sebiji di kedai runcit berhampiran jika mahu menaiki bas ke sekolah petang.

“Kalau tak jual telur ayam kampung yang ibu pelihara, terpaksalah berjalan kaki kira-kira empat kilometer pergi dan balik, jadi sebelum pergi sekolah, saya akan intai dahulu sangkak ayam nak tengok ada telur atau tidak pada hari itu untuk dijual untuk buat tambang bas.”

“Ada kalanya ketika di darjah 5, ayah akan menghantar bekalan nasi hanya berlaukkan ikan kering, ulam-ulaman dan telur rebus sahaja untuk mengisi perut sementara menunggu kelas tambahan bermula.

“Namun, kemiskinan bukan untuk ditangisi sebaliknya ia mendorong saya untuk mencapai kecemerlangan dan keputusan Penilaian Darjah Lima berjaya melayakkan saya untuk menikmati pendidikan yang lebih sempurna di sekolah berasrama penuh (SBP) iaitu di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang, di Bukit Mertajam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di sini, baru-baru ini.

Beliau yang dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP sejak 2019 menyifatkan penajaan pendidikan PETRONAS adalah batu loncatan yang telah mengubah kehidupannya.

Idris Ibrahim bertanya sesuatu kepada kakitangannya di Institut Teknologi PETRONAS (INSTEP) di Terengganu.

Beliau menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Geologi di Boston University, Massachusetts, Amerika Syarikat pada tahun 1982 dan mendapat elaun bulanan USD450 sepanjang empat tahun pengajian di sana.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan sepanjang berada di Boston University, saya tidak pernah meminta bantuan kewangan daripada kedua ibu bapa saya.

“Elaun bulanan digunakan sebaik mungkin dan saya sematkan dalam minda perlu belajar dengan serius kerana wang tajaan PETRONAS itu adalah satu amanah, satu tanggungjawab yang besar untuk saya lunaskan dengan mencatat keputusan yang cemerlang,” katanya.

Keseluruhan nilai biasiswa yang diperuntukkan oleh PETRONAS kepada Idris ketika itu amat besar nilainya, dan ianya bagaikan talian hayat untuknya mengubah kehidupan dan mengajarnya erti kemanusiaan.

Sebaik tamat pengajian, Idris mendapat tawaran pekerjaan di PETRONAS sebagai Eksekutif Pelatih dengan gaji permulaan sekitar RM1,500 sebulan yang disifatkannya cukup lumayan pada 1980-an.

“Masa mula-mula pegang gaji pertama, perasaan saya bercampur baur, terimbas semula susah payah yang dilalui sejak kecil hingga ke tahap berjaya menjadi seorang kakitangan PETRONAS dan pastinya rasa syukur yang tidak terhingga kerana terpilih menerima biasiswa pendidikan itu.

“Sejak itu, bermula detik manis, suka duka sepanjang karier saya di PETRONAS, diberi peluang mengasah bakat bekerja dan kepimpinan bersama pasukan termasuk bertugas ke luar negara serta berpeluang menerajui beberapa fungsi utama di Bahagian Eksplorasi di PETRONAS hinggalah kemuncaknya sekarang, saya diberi tanggungjawab menerajui INSTEP,” katanya sebak.

Ditanya peranan PETRONAS dalam hidupnya pula, Idris berkata, syarikat itu bukan sahaja membantu dirinya malah telah menabur bakti kepada lebih 38,000 pelajar Malaysia yang mendapat manfaat melalui penajaan pendidikan PETRONAS sejak mula diperkenalkan pada tahun 1975.

“Nilai tajaan yang diperuntukkan sangat besar pada masa sekarang, terutama untuk mereka yang belajar di luar negara, mungkin mencecah anggaran angka hampir RM1 juta.

“Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana setiap sen yang diperuntukkan itu adalah wang rakyat yang diberi istimewa kepada pelajar sebagai pelaburan modal insan yang konsisten, agar dapat melahirkan lebih ramai bakat serba boleh yang mahir, seterusnya akan menyumbang dalam meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi rakyat bagi membangun dan melestarikan industri dan negara kita yang tercinta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya