KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya kerajaan negeri dan persekutuan berusaha meningkatkan infra kemudahan air termasuk mengurangkan non revenue water (NRW) yang mencecah 53.7 peratus bagi tahun lalu.
Titah tersebut dibacakan oleh oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.
Baginda bertitah, penyediaan sumber air yang bersih menjadi salah satu agenda keutamaan di negeri ini.
“Keadaan itu perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negeri yang lestari dan holistik.
“Melihat kepada situasi semasa, beta juga berasa dukacita apabila isu jenayah syariah dipandang ringan dan dipermainkan segelintir masyarakat serta berharap kerajaan negeri memandangkan serius perkara ini agar dapat membendungnya,” titah baginda sempena Hari Keputeraan yang Ke-54 di Balai Istana Besar di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Sultan Muhammad V bertitah, keadaan situasi ekonomi semasa terutamanya bagi tahun ini yang dijangka akan tumbuh dengan perlahan.
Titah baginda, ketegangan geopolitik antarabangsa antara Ukraine dan Rusia antara faktor utama berlaku ketidakstabilan ekonomi global.
“Pergolakan ini telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga barang dan memburukkan lagi tekanan inflasi global,” titahnya.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mendahului senarai 772 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V.
Mohd. Amar, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan dikurniakan Datuk Bergelar dengan gelaran Datuk Sri Amar Diraja.
Majlis itu disempurnakan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman turut menerima pengurniaan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.
Sementara, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) membawa gelaran Datuk.
Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun; Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Datuk Norazman Abd Ghani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin serta Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar. – UTUSAN










