Setiap sejam 50 kes cedera, mati di Gaza – Abu Ayesh - Utusan Malaysia

Setiap sejam 50 kes cedera, mati di Gaza – Abu Ayesh

Orang ramai melihat sebahagian daripada mayat rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan Israel ke atas Hospital Ahli Arab di tengah Gaza baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Masyarakat an­tarabangsa benar-benar hi­pokrit! Setiap hari ratusan rak­yat Palestin dibunuh, bangu­nan dimusnahkan, apa kamu tunggu lagi? Berapa banyak nyawa rak­yat Palestin yang mahu dikorbankan supaya ada tindakan.”

Demikian kemarahan Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza mengenai apa yang berlaku di Gaza dan menimpa penduduk Palestin.

Abu Ayesh mengkritik pemimpin dunia kerana tidak mengambil tindakan terhadap kezaliman zionis yang setiap hari melakukan serangan terhadap penduduk Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Menurutnya, setiap hari ratusan rakyat Palestin menjadi korban kekejaman rejim zionis dengan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa.

“Setiap satu jam, 50 kes dilaporkan membabitkan kecede­raan dan kematian berlaku di sini. Seramai 4,651 penduduk terkorban manakala 14,245 orang awam cedera sejak hari pertama serangan dilancarkan rejim zionis.

“Saya tak tahu apa yang mereka (pemimpin dunia) tunggu, berapa ramai lagi rakyat Pales­tin yang harus menjadi korban untuk mereka bertindak. Ini semua gila, tak berperikemanusiaan,” katanya menerusi audio di aplikasi WhatsApp.

DIBOM

Abu Ayesh yang juga Penge­rusi Muslim Care Malaysia – Palestin berkata, setakat ini, sebanyak 165,000 unit rumah atau 50 peratus unit rumah di Semenanjung Gaza rosak akibat dibom dengan 20,000 unit musnah sepenuhnya dan tidak boleh diduduki.

Selain itu, menurutnya, sebanyak 176 buah sekolah di Gaza musnah dengan 30 lagi tidak boleh beroperasi.

“Jumlah penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal mencecah 1.4 juta orang. Separuh daripadanya berlindung di kem pelarian manakala selebihnya menumpang di rumah saudara-mara, rakan dan fasiliti awam.

“Rejim zionis turut me­nyasarkan 31 buah masjid dan tiga gereja dalam 17 hari sera­ngan setakat ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, 40 trak yang dibenarkan memasuki Gaza untuk menghantar bantuan ubat-ubatan, makanan, air bersih dan sebagainya tidak mampu menampung keperluan 2.2 juta penduduk.

Menurutnya, sebelum pepe­rangan meletus, sekurang-kurangnya 500 trak keluar ma­suk di sempadan Rafah setiap hari untuk menghantar bekalan.

“Saya percaya bantuan yang diberikan tidak mengubah apa-apa keadaan di Gaza, kami di sini kekurangan segala-galanya, air, makanan, bahan api, elektrik, semuanya serba kekura­ngan dan adalah amat sukar untuk penduduk Gaza untuk teruskan kehidupan.

“Kami cuba menyimpan makanan untuk kanak-kanak tapi kami kekurangan susu untuk bayi. Banyak lagi masalah lain contohnya air bersih untuk kegunaan golongan wanita yang baru habis haid. Mereka perlu mandi wajib untuk beribadah. Mahu ke tandas (buang air) juga adalah cabaran besar buat kami di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN