Selangor umum pengecualian cukai, bantuan khas - Utusan Malaysia

Selangor umum pengecualian cukai, bantuan khas

Tafsiran mahkamah
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 426,656 rumah kos rendah di seluruh negeri dikuatkuasakan pengecualian cukai untuk penggal kedua bagi tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Disember dengan nilai keseluruhan RM29.4 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengecualian tersebut diberikan sebagai usaha kerajaan negeri membantu mengurangkan beban kewangan rakyat serta kos sara hidup melalui Cukai Taksiran Rumah Kos Rendah.

“Bantuan secara bersasar itu diharap meningkatkan pendapatan boleh guna bagi golongan yang memerlukan serta mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Jelasnya, pengecualian tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri menerusi sebahagian daripada lima Komitmen Utama Dalam Tempoh 100 hari seperti diumum pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Ogos lalu.

Selain, pengecualian cukai, Amirudin turut mengumumkan peningkatan bayaran elaun kepada nazir (RM300), imam (RM1,500), bilal (RM340) dan siak (RM290) berkuatkuasa pada 25 Oktober ini.

Menurutnya, seramai 760 imam dan 1,900 nazir, bilal dan siak akan menerima manfaat tersebut seperti yang turut diumumkan dalam kempen PRN Selangor pada Ogos lalu.

“Selangor mengambil pendirian untuk meningkatkan elaun mereka sebagai tanda penghargaan melalui gaji progresif. Secara keseluruhan, pemberian insentif tersebut merupakan penambahan sebanyak RM2,96 juta dan akan diperuntukkan secara tahunan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Amirudin lagi, kerajaan negeri turut mengumumkan bantuan kepada nelayan, petani dan pesawah sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebagai langkah membantu mereka serta memberi insentif supaya kadar pengeluaran pertanian dapat ditingkatkan.

“Pemberian itu dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala baki RM500 akan diberikan dalam menerusi input tanaman, peralatan dan bahan mentah dan akan mula diserahkan pada 31 Oktober depan melalui kerjasama pihak Agro Bank Selangor serta Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad,” ujarnya.

Sementara baki dua lagi dalam komitmen utama dalam tempoh 100 hari kerajaan negeri iaitu pemberian baucer buku dan program bantuan untuk wanita bekerja menurutnya akan dilaksanakan hujung Oktober atau November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN