PUTRAJAYA: Sektor pertanian termasuk keterjaminan makanan adalah antara bidang yang menjadi keutamaan dalam perbincangan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
Keputusan tersebut berdasarkan kedudukan negara gajah putih itu yang mempunyai keselamatan makanan selain dilengkapi dengan produk pertanian yang maju.
Selain itu, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan beberapa pasukan petugas bagi merancakkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor berkepentingan bersama terutama bidang pelancongan dan keselamatan.
Perdana Menteri berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatannya semalam.
Menurut beliau, kerjasama itu turut melibatkan bidang perdagangan, perniagaan termasuk industri halal sekali gus mampu meningkatkan jumlah pelaburan di kedua-dua negara sebagai rakan negara jiran.
Katanya, selepas tempoh sebulan itu, kedua-dua pemimpin akan bertemu semula untuk menilai laporan daripada perkembangan yang dibincangkan menerusi pasukan petugas khas itu bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar dan efektif.
“Saya amat memahami fokus anda dalam isu-isu keselamatan dan pelaburan. Dan saya amat mengalu-alukan peluang dalam mencapai beberapa keputusan perniagaan di luar kebiasaan yang memberi kelebihan kepada kedua-dua buah negara.
“Melalui penubuhan pasukan petugas khas ini, kedua-dua negara yakin boleh meningkatkan jumlah pelaburan dan saling melengkapi satu sama lain dalam membantu negara jiran dan memperoleh manfaat daripada negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama sempena lawatan kerja Srettha ke Malaysia yang merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 5 September lalu.
Pada 2022, Thailand menjadi rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia, dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), meningkat 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (AS$23.54 bilion) pada 2021.
Sementara itu, Srettha berkata, Thailand mengiktiraf sijil halal Malaysia untuk digunakan bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan seterusnya berupaya memasarkan produk tersebut ke peringkat antarabangsa.
“Jadi, kami berasakan boleh meningkatkan produktiviti. Malaysia memerlukan makanan dan mempunyai jenama halal yang boleh membantu Thailand untuk menjualnya ke seluruh dunia.
“Dengan pensijilan itu, kita boleh meluaskan pasaran produk halal ke seluruh dunia serta akan meningkatkannya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Thailand itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Dalam pada itu, Srettha berkata, perbincangan bersama Anwar turut menyentuh mengenai isu keselamatan negara di utara Malaysia dan selatan Thailand yang turut menjadi perhatian kedua-dua kerajaan.
“Kita bersetuju untuk meningkatkan kemajuan di selatan Thailand seterusnya membolehkan rakyat di utara Malaysia juga akan menikmati kepesatan pelaburan serta kewangan antara kedua-dua negara.
“Kita menikmati nilai pelaburan yang baik dan jumlahnya perlu ditingkatkan dengan perancangan yang ingin dilaksanakan. Sasaran akan ditetapkan kelak dan berharap mencapainya dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN










