Sarawak mahu jalin kerjasama dengan Australia sasar lahir lebih

Sarawak mahu jalin kerjasama dengan Australia sasar lahir lebih ramai pakar teknologi 

ABANG Johari Tun Openg menyampaikan skrol kepada salah seorang graduan Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak melihat kemungkinan peluang untuk bekerjasama dengan Australia berhubung kait bidang kursus kejuruteraan aeroangkasa.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi keyakinan untuk melihat jalinan kerjasama dengan negara itu melalui Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak dengan cawangan universiti di Melbourne, Australia.

“Kita mempunyai kelebihan tersendiri kerana kita mempunyai rakan kerja universiti di Australia, dan di sana (Melbourne) sekarang sudahpun ada bidang baharu iaitu Aeroangkasa. 

“Justeru, insya-Allah tahun depan saya akan pergi ke kampus Swinburne di Australia (Melbourne) kerana kita juga ada beberapa rancangan untuk Sarawak, sebabnya kita mengeluarkan bahan api penerbangan mapan (SAF) dan SEDC Energy ada kerjasama dengan Airbus.

“Jadi, ini bidang-bidang yang baharu mungkin kampus Sarawak boleh bekerjasama dengan Melbourne untuk mengeluarkan perkara hubung kait aeroangkasa dan juga komponen kapal terbang,” jelasnya ketika ditemui media selepas hadir menyempurnakan Majlis Graduasi Universiti Swinburne Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari mendedahkan Sarawak kini memerlukan sekurang-kurangnya 30 lagi pakar pereka bentuk cip untuk berkhidmat di negeri ini.

“Kini kita (Sarawak) mempunyai 20 pereka cip dan kita berkehendakkan 50 pereka..maksudnya sekarang ini kita berkehendakkan 30 lagi (pereka cip).

“Sebab itu, kita lihat dalam industri teknologi maklumat (IT) ini dia cepat membangun, kelajuannya sangat pantas..Jadi, bermaknanya kemahiran pakar-pakar dalam bidang ini hendaklah dinaikkan taraf di universiti, maka, satu kajian hendak dibuat untuk mewujudkan satu reka bentuk yang sepadan dengan peranti yang baru seiring dengan peredaran semasa dengan melahirkan lebih ramai pakar melalui institusi pendidikan tinggi,” tambah Abang Johari. 

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, salah satu universiti yang menawarkan beberapa kursus berhubung kait dengan kecerdasan buatan (AI) dan IT.

“Kursus ini ditawarkan sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), sekali gus membantu Sarawak untuk menghasilkan graduan yang pakar dalam reka bentuk industri dan reka bentuk cip di bawah fakulti IT, jadi, ini dapat menampung Sarawak untuk mengeluarkan pakar dalam reka bentuk ini. 

“Kita berkehendakkan banyak pereka cip dan sudah tentu kita mesti mempunyai beberapa disiplin yang hubung kait dgn AI dgn IT termasuk di Universiti Teknologi Swinburne ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN