KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mencadangkan agar peruntukan bagi pertubuhan peladang disalurkan terus kepada Sabah dan Sarawak mulai tahun depan bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kepada golongan perladang, penternak dan nelayan.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd. Nazri Abdullah berkata, penyaluran peruntukan secara terus kepada PPN Sabah dan Sarawak itu penting agar manfaat yang diberikan kerajaan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan dapat dinikmati segera oleh golongan sasar.
Pendekatan itu juga sejajar dengan kesungguhan kerajaan Persekutuan menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan keperluan Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi.
Ketika ini, peruntukan pertubuhan peladang disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan itu menyebabkan kelewatan dalam penyaluran bantuan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan di negeri ini.
Menurut beliau, cadangan mengenai kaedah penyaluran peruntukan kepada kedua-dua negeri Borneo itu diputuskan sebulat suara oleh perwakilan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PPN Sabah.
“Dalam mesyuarat agung tahunan baru-baru ini, semua perwakilan daripada 26 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan PPN mengusulkan bahawa bermula tahun depan semua peruntukan kepada Sabah dan Sarawak haruslah diberi pertimbangan untuk diberikan terus kepada PPN negeri itu sendiri berbanding sekarang dikendalikan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan seperti disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mempertimbangkan apa sahaja untuk Sabah dan Sarawak sesuai dengan MA63,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Nazri berkata, PPN Sabah juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri bagi memohon pertimbangkan cadangan untuk salurkan peruntukan terus kepada PPN di Sabah dan Sarawak, tanpa perlu disalurkan kepada Nafas.
“Kalau ini terlaksana, ia akan mempercepatkan bantuan kepada masyarakat yang menerimanya kerana ia dibuat dan diproses di Sabah dan Sarawak sebelum dihantar kepada penerima.
“Jadi, bantuan itu cepat sampai, sekali gus dapat membantu memudahkan usaha kerajaan melaksanakan penyaluran bantuan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lalu adalah belanjawan yang baik dan memberi manfaat besar kepada rakyat, termasuk ahli Pertubuhan Peladang di Sabah.
Melalui Belanjawan 2024, dana berjumlah RM 2.6 bilion diperuntukkan bagi menyediakan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan. Dengan sumbangan yang besar itu, beliau percaya banyak manfaat akan dinikmati golongan peladang, penternak dan nelayan.-UTUSAN
Ends.










