Polis bongkar makmal proses dadah, rampas heroin, syabu RM1.87j - Utusan Malaysia

Polis bongkar makmal proses dadah, rampas heroin, syabu RM1.87j

KHAW Kok Chin menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Teluk Kumbar dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar makmal haram pemprosesan dadah jenis heroin dan syabu menerusi serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Teluk Kumbar, dekat sini.

Menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bermula Jumaat lalu hingga semalam, polis turut menahan empat suspek lelaki warga tempatan berusia 27 hingga 33 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM1.87 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi itu membabitkan enam serbuan secara serentak di sekitar George Town dan kawasan Barat Daya.

Jelas beliau, suspek pertama iaitu lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai dalang sindiket itu ditahan kira-kira pukul 9.10 malam pada Jumaat lalu di tepi jalan di Tanjong Tokong.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 200 meter dari lokasi suspek ditahan,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, suspek kedua pula ditahan di Gelugor kira-kira pukul 12.20 tengah malam, Sabtu lalu manakala suspek ketiga dan keempat ditahan di Lebuh Sungai Pinang kira-kira pukul 1 pagi pada hari sama.

Jelasnya, susulan penahanan suspek itu, polis merampas pelbagai jenis heroin dan syabu yang disimpan di dalam kereta di kawasan parkir tidak jauh daripada lokasi mereka ditahan.

”Suspek-suspek ini dipercayai menyimpan dadah di dalam kereta yang diletakkan di parkir awam sebelum pembeli datang mengambilnya tanpa kehadiran suspek,” katanya.

KHAW Kok Chin menunjukkan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dalam serbuan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Teluk Kumbar dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Tambah beliau, dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menyerbu rumah dua tingkat di Teluk Kumbar kira-kira pukul 7.15 malam, Sabtu lalu dan membongkar makmal haram memproses heroin di situ.

Ujarnya, polis turut menjumpai pelbagai jenis dadah serta peralatan untuk memproses dadah seperti heroin base, serbuk kafein, bahan kimia dan lain-lain peralatan di rumah terbabit.

”Ketika serbuan dijalankan rumah ini tidak berpenghuni dan polis masih menyiasat hubungan tuan rumah dengan suspek,” katanya.

Kok Chin berkata, hasil risikan mendapati aktiviti memproses dan mengedar dadah oleh sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan.

Jelasnya, dalam siri serbuan itu, polis merampas heroin sebanyak 23.38 kilogram (kg); heroin base (18.4 kg); syabu(1.5 kg); kafein sebanyak 94.4 kg dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 1,227,000 orang.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah, namun semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis juga menyita enam buah kereta, barang kemas wang tunai serta dua buah motosikal dan jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan RM2.06 juta.

‘Seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai syarikat pembersihan manakala tiga yang lain merupakan penganggur.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya