PETALING JAYA: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah (PeSAWAH) hari ini mengadakan perhimpunan di Alor Setar, Kedah bagi meluahkan kekecewaan terhadap isu industri padi dan beras yang sudah mencapai kekeliruan tahap kronik.
Setiausahanya, NurFitri Amir Muhammad berkata, terlalu banyak isu melibatkan beras yang masih lagi belum selesai ditambah dengan harga belian padi jatuh mendadak dari RM1,700 kepada RM1,200 menyebabkan pesawah semakin tersepit.
“Belum lagi selesai isu kehilangan beras putih tempatan dari pasaran akibat daripada eksploitasi di peringkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan para petani di Kedah yang kecewa dengan tindakan pengilang menurunkan harga pembelian padi secara drastik daripada RM1,700 per tan kepada antara RM1,200 hingga RM1,250 sejak semalam memberi kesan besar kepada petani terutamanya kira-kira 50 peratus lagi golongan itu yang belum menuai hasil musim ini.
Kata para petani, para pesawah juga semakin tertekan apabila semua kos untuk menanam padi dinaikkan semenjak kenaikan harga padi berlaku seperti benih, jentera dan sewaan bendang.
Dalam pada itu, tambah NurFitri Amir lagi, harga syiling beras putih tempatan perlu dikaji semula kerana sudah tidak sesuai digunakan dan tidak dikaji sejak 2008.
“Sudah tiba masa harga syiling beras putih tempatan dinaikkan daripada RM2.60 kepada RM3.50 sekilogram manakala harga lantai belian padi dinaikkan dari RM1,200 kepada RM1,500 per tan,” katanya.
Katanya, bagi mengatasi masalah ini, kerajaan perlu melakukan kawalan beras yang lebih efektif dengan menggabungkan beras tempatan dan beras import dalam satu kategori beras putih bagi mengelakkan penipuan harga dan bekalan beras berlaku.
“Satukan beras tempatan dan import dengan satu kategori iaitu beras putih sahaja dengan harga kawalan RM3.50 sekilogram maksimum,” katanya.-UTUSAN










