PN sasar 26 kerusi DUN, 10 Parlimen di Pahang

PN sasar 26 kerusi DUN, 10 Parlimen di Pahang

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) selepas program pemukiman di Komtaq, Kuala Krau di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) menyasarkan menguasai 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 Parlimen dalam usaha membentuk Kerajaan Negeri Pahang selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sasaran itu kekal menjadi keutamaan gerak kerja gabungan tersebut bagi memastikannya mampu muncul sebagai peneraju pentadbiran negeri Pahang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, matlamat tersebut digarap berdasarkan penilaian realistik terhadap kekuatan jentera, kebolehmenangan calon dan tahap sokongan semasa rakyat.

“Sasaran 26 DUN dan 10 Parlimen ini bukan sahaja untuk menang tetapi bagi memastikan PN dapat membentuk kerajaan dan menerajui Pahang selepas PRU-16,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pemukiman yang dihadiri komponen PN di Komtaq, Kuala Krau di sini. 

Menurut Tuan Ibrahim, pemilihan kerusi dan calon dilakukan secara strategik dengan mengambil kira faktor setempat serta penerimaan rakyat.

Kata beliau, PN Pahang terus memperkukuh jentera di semua peringkat termasuk memperhebat gerak kerja lapangan selain memanfaatkan media sosial dan saluran penerangan dengan naratif yang jelas serta menyentuh hati rakyat. 

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan inklusif  terus diperkasa bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat didekati tanpa mengira kaum, budaya dan latar belakang politik. –  UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN