SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bercadang untuk mengekalkan jumlah kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu mengambil kira susunan kerusi yang telah dipersetujui dalam pilihan raya lalu.
Menurutnya, sebarang perubahan terhadap agihan kerusi hanya akan diputuskan selepas dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Kita akan bincang dan boleh umumkan kemudian. Pada pilihan raya lalu di Melaka, kita sudah ada susunan kerusi yang telah dipersetujui.
“Jadi kalau ikut pandangan kita, kerusi itu kekal sebegitu, kecuali jika ada cadangan lain yang perlu dibawa ke Majlis Tertinggi PN,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Selangor di sini, hari.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan parti itu akan meletakkan calon di lebih 15 kerusi DUN di Melaka pada (PRN) akan datang.
Beliau berkata, angka itu dianggap realistik berdasarkan kemenangan dua kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Jasin dan Tangga Batu.
Katanya, Pas kini memberi tumpuan kepada pengukuhan strategi di kawasan sasaran termasuk meningkatkan kehadiran di lapangan dan mendekati pengundi secara berterusan.
PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka sebelum ini dengan Bersatu sebanyak 15 kerusi, Pas (lapan) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pula lima kerusi.-UTUSAN










