PETALING JAYA: Peruntukan RM58.1 bilion disediakan kerajaan bagi membiayai pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat merangkumi subsidi dan insentif dalam Belanjawan 2024 disifatkan cukup untuk rakyat menghadapi pengurangan subsidi tahun depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ida Md. Yassin berkata, jumlah berkenaan adalah besar melihat kadar pendapatan rakyat Malaysia tidak terlalu tinggi.
Sehubungan itu, katanya, penerima-penerima peruntukan itu harus membelanjakan wang tersebut secara optimum, selain tidak terlalu bergantung dengan bantuan kerajaan.
“Jika ditanya kepada penerima, sudah tentu mereka kata tidak cukup kerana gaji tidak besar. Tetapi, jumlah ini sebenarnya besar kerana pendapatan kita (rakyat) juga tidak banyak.
“Sebab itu, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan akan terus menampung perbelanjaan seharian kita, sebaliknya kita masih perlu bekerja. Kalau mahu duit banyak, maka kena bekerja lebih lagi.
Ini cuma bantuan kerajaan, bukannya untuk menampung perbelanjaan rakyat setiap hari,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat minggu lalu, kerajaan akan memulakan usaha mengurangkan subsidi tahun depan, kali pertama dalam berdekad kerajaan menangani perbelanjaan yang menjadi punca kepada ketempangan kewangan negara selain ketirisan berbilion ringgit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun mengumumkan penyediaan RM58.1 bilion untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan pada tahun depan.
Katanya, hampir 50 peratus peruntukan itu untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.
Jelasnya, sebanyak RM225 juta disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, gas petroleum cecair (LPG), tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pedalaman di bawah Program Community Drumming.
Subsidi diesel yang ditetapkan pada harga RM2.15 seliter berbanding harga pasaran RM3.75 seliter menyebabkan kerajaan menanggung RM1.60 bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya.
Kerajaan antara lain bersetuju meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta, malah kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
Dalam masa sama, kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan untuk golongan rentan di negara ini. Antaranya, menaikkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun depan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini.
Sementara, kadar minimum STR bagi golongan belia meningkat kepada RM500 berbanding RM350 sebelum ini.
Pemberian STR akan memanfaat sembilan juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.
Kerajaan pada tahun ini turut memperkenal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200,000 penerima STR sebanyak RM100 sebulan untuk tempoh enam bulan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, sama ada jumlah peruntukan RM58.1 bilion itu cukup atau tidak bergantung kepada beberapa faktor.
Jelasnya, faktor tersebut termasuk jenis bantuan khusus yang diberi, bilangan individu layak menerima bantuan dan keadaan keseluruhan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, RM58.1 bilion yang diperuntukkan kerajaan dalam belanjawan tahun depan merupakan peningkatan ketara berbanding RM57.7 bilion dalam Belanjawan 2023.
“Secara amnya, matlamat kerajaan adalah menyediakan bantuan yang cukup untuk membantu rakyat memenuhi keperluan asas mereka dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Namun, kerajaan juga perlu mengambil kira bajet dan keperluan untuk memastikan perbelanjaannya mampan.
“Kerajaan telah menyatakan peruntukan RM58.1 bilion akan digunakan untuk membiayai pelbagai program, termasuk subsidi untuk barangan dan perkhidmatan penting, seperti makanan, bahan api dan elektrik insentif untuk menyokong perniagaan dan mewujudkan pekerjaan dan bantuan kewangan untuk isi rumah berpendapatan rendah dan kumpulan yang terdedah,” katanya. – UTUSAN










