PETALING JAYA: Perang Palestin-Israel yang memasuki minggu ketiga kini merebak ke negara jiran dengan berbalas tembakan berlaku di sempadan Lubnan, Syria dan Iran manakala ketegangan antara pemimpin Mesir dan rejim Zionis terus meningkat.
Israel ketika ini terus memperhebatkan bedilan roket di sempadan Lubnan selain menyerang kedudukan tentera Syria atas alasan kawasan terlibat menjadi kubu kumpulan Hezbollah.
Pesawat udara Israel juga dilapor menyerang lapangan terbang di ibu negara Damsyik dan bandar utara Aleppo sehingga melumpuhkan perkhidmatan kedua-dua lapangan terbang utama Syria itu yang sedia dilanda perang.
Mesir juga tidak terkecuali selepas serangan kereta kebal rejim Israel kelmarin didakwa tidak sengaja tersasar ke sempadan Mesir sehingga mencederakan kira-kira tujuh individu termasuk anggota penguat kuasa di sempadan.
Ketegangan juga dijangka terus memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan di rantau Asia Barat selain menghantar aset udara dan laut termasuk dua kapal pengangkut pesawat di laut Mediterranean sebagai tanda sokongan kepada Israel.
Pada masa sama, China juga mengerahkan enam buah kapal perang termasuk kapal pemusnah peluru berpandu ke rantau itu.
Mengulas perkara itu, geostrategis Dr. Azmi Hassan berkata, alasan Israel mengatakan peluru berpandu mereka tersasar ke sempadan negara terlibat hanya satu cubaan untuk mengaburi tindakan sebenar rejim tersebut.
Beliau percaya serangan Israel di pintu masuk Mesir, di selatan Lebanon dan di Syria merupakan satu strategi untuk mengehadkan peperangan dan bukannya melebarkan lagi peperangan.
Katanya, rejim Zionis sendiri tahu mereka tidak dapat bertahan sekiranya kumpulan Hezbollah mula menyerang di utara Israel atau Syria dijadikan pangkalan oleh kumpulan pejuang pembebasan Palestin, Hamas.
“Israel tidak dapat bertahan kerana bukan sahaja mereka terpaksa berperang di Gaza, tetapi di negara jiran.
“Jadi, apabila mereka katakan tersilap melancarkan serangan bom berhampiran pintu masuk Mesir, itu hanya alasan. Tetapi tindakan itu juga satu ugutan kepada negara terlibat.
“Ini adalah strategi mereka supaya dikatakan Israel hanya berperang dengan Hamas,” katanya.
Menurut beliau, Israel juga bimbang andai perang melarat dengan negara lain yang bersimpati dengan Palestin.
Mengulas lanjut, Azmi berpendapat, kini mungkin masa terbaik untuk negara jiran yang dijadikan sasaran rejim Zionis melancarkan serangan balas terhadap Israel.
Katanya, langkah itu adalah alasan terbaik berbanding melancarkan perang secara besar-besaran ke atas Israel.
“Perang besar-besaran tidak boleh dilakukan kerana negara Arab akan kalah sebab Amerika akan membantu Israel.
“Jadi pelancaran balas roket ke Israel boleh dilakukan supaya rakyat Israel turut rasa kesengsaraan perang dan mungkin menyasarkan bandar-bandar tertentu di Israel supaya keadaan dalam negara mereka juga kucar-kacir
“Itu yang paling penting sekali supaya rakyat mereka memberontak dan sedar bahawa apa yang dilakukan oleh pemerintah mereka adalah tidak betul,” katanya.
Sejak Hamas melancarkan serangan balas terbesar terhadap Israel pada 7 Oktober lepas, rejim Zionis berterusan bertindak keterlaluan menyasarkan penduduk awam dan menghancurkan masjid, sekolah serta hospital di Semenanjung Gaza.
Setakat ini, lebih 5,000 rakyat Palestin terkorban selain lebih 15,000 pula dilaporkan cedera dalam konflik yang semakin memuncak itu. – UTUSAN










