Penjawat awam jaga integriti, elak terbabit amalan rasuah

Penjawat awam jaga integriti, elak terbabit amalan rasuah-Azam Baki

AZAM Baki (tiga kiri) menyaksikan penyampaian Sijil Apresiasi Penambahbaikan Tata Kelola Agensi oleh Hajiji Noor (dua kiri) kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair (tiga kanan) di Kota Kinabalu semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketirisan dana awam akan berleluasa dan penguatkuasaan undang-undang pula menjadi lemah sekiranya integriti dalam perkhidmatan awam tidak dijaga dengan baik.

Justeru, anggota perkhidmatan awam perlu memastikan integriti dalam perkhidmatan sentiasa dititikberatkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau khuatir sekiranya integriti perkhidmatan tidak dijaga dengan baik maka, ketirisan dalam tadbir urus negara akan terus berlaku.

“Penguatkuasaan undang-undang dilihat lemah, pendatang asing tanpa izin bebas keluar masuk, ketirisan dana awam berleluasa, urusan perolehan tidak teratur merupakan kesan daripada integriti perkhidmatan yang tidak dijaga.

“Jangan biarkan integriti yang wajib dipertahankan dipijak-pijak demi habuan yang tidak seberapa. Jangan kerana ‘setitik nila rosak susu sebelanga’.

“Bagi golongan sebegini, integriti tidak lekat di hati, sebaliknya letaknya di kaki,” katanya semasa Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah 2023 (KITA 2023), semalam.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Azam berkata, sekiranya integriti tidak menjadi teras dalam setiap urusan dan perkhidmatan yang dibekalkan maka, akan berlaku kepincangan dalam sistem tadbir urus kerajaan.

Seandainya integriti tidak dijaga dengan baik maka, apa yang dihasratkan dalam Gagasan Malaysia Madani, Ekonomi Madani dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tidak akan berjaya direalisasikan.

“Untuk itu, selain tindakan operasi dan punitif yang dilaksanakan secara agresif dan proaktif, pencegahan dan galakan dalam bentuk insentif turut diperkenalkan.

“Umpamanya, bagi syarikat yang melaksanakan program-program pendidikan dan pencegahan rasuah, potongan cukai di bawah 7 Sub seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh dituntut bagi program yang dianjurkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SPRM kekal komited dalam memastikan hasrat dan harapan untuk menjadikan Malaysia bebas daripada rasuah akan dilaksanakan dengan segala kudrat dan kuasa yang ada.

Justeru, beliau berharap pembentangan dan sesi forum dalam KITA 2023 itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh peserta konvensyen untuk menjadi bekalan dalam pengurusan integriti yang lebih baik di peringkat masing-masing kelak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya