WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Nobitex, platform mata wang kripto terbesar Iran, sekali gus menyasarkan sektor yang menyaksikan peningkatan aktiviti sejak bermulanya perang di Asia Barat pada Februari lalu.
Pakar berkata, platform aset digital digunakan untuk mengelak sekatan yang dikenakan terhadap Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) serta menjadi tempat perlindungan kewangan bagi orang awam yang terkesan akibat inflasi melambung tinggi.
Menurut TRM Labs, Nobitex mengendalikan transaksi bernilai kira-kira AS$5 bilion (RM19.9 bilion) antara 2025 hingga Mac 2026. Bloomberg pula menganggarkan keseluruhan pasaran kripto Iran bernilai sekitar AS$7.8 bilion (RM31.05 bilion) pada Mac lalu.
AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan konflik yang lebih luas di Asia Barat apabila serangan balas Teheran mengenai sekutu serantau Washington.
Jabatan Perbendaharaan AS mendakwa Nobitex memproses lebih 50 peratus daripada keseluruhan aliran masuk aset digital Iran pada 2025.
Menurut jabatan itu, bursa berkenaan memudahkan pembayaran yang dikaitkan dengan aktiviti kerajaan, usaha mengelak sekatan serta transaksi berkaitan IRGC.
Jabatan Perbendaharaan turut mengenakan sekatan terhadap dua lagi bursa aset digital Iran, iaitu Wallex dan Bitpin.
Selain itu, sekatan turut dikenakan terhadap tiga pengasas bersama Nobitex serta ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersebut.
Iran sebahagian besarnya terputus daripada sistem kewangan global susulan sekatan AS dan Eropah yang dikenakan bertahun-tahun sebelum perang tercetus.
Mata wang kripto pula menjadi salah satu saluran bagi rakyat dan perniagaan di Iran untuk terus menjalankan transaksi dengan dunia luar.-AFP










