MARAN: Di tengah-tengah arus kemodenan yang semakin mengubah gaya hidup masyarakat, sebuah kedai songkok di Felda Semarak Jengka 15 di sini, terus teguh mempertahan seni pembuatan tradisional yang hampir berusia 90 tahun.
ia menjadi antara pengusaha tradisional tertua yang masih aktif menghasilkan songkok secara manual, malah jenamanya iaitu Sawari Songkok Felda Best Muluk Jengka, semakin melebar ke seluruh negara.
Pemiliknya, Akmar Abdul Muluk, 75, berkata, perusahaan itu bukan sekadar sumber rezeki tetapi amanah warisan keluarga yang mesti dipertahankan supaya seni pembuatan songkok Melayu tidak pupus ditelan zaman.
“Perusahaan ini bukan sekadar berniaga tetapi amanah keluarga yang perlu dipertahan. Saya belajar membuat songkok dengan melihat ayah menghasilkannya sejak kecil.
“Alhamdulillah, sekarang anak saya pula mula meneruskan legasi ini supaya seni pembuatan songkok tradisional tidak terhenti di sini sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Semarak Jengka 15.
Akmar berkata, premis berkenaan sering menerima kunjungan pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan yang membantu memperkenal perusahaan itu menerusi risalah, majalah pelancongan dan promosi di platform antarabangsa termasuk di Singapura.
Katanya, songkok baldu yang menggunakan fabrik import dari Korea Selatan dan Indonesia kekal menjadi pilihan utama pelanggan serta menyumbang hampir 90 peratus keseluruhan jualan di premis berkenaan.
“Kami turut mengikuti perkembangan semasa dan kehendak pelanggan. Ada yang memilih songkok lebih tinggi sekitar tiga hingga tiga setengah inci manakala ada juga menggemari rekaan rendah atau rata yang kini semakin mendapat sambutan,” katanya.
Menurutnya, harga songkok yang ditawarkan masih berada pada kadar berpatutan apabila harga borong di kedai hanya RM48 setiap satu, namun di premis luar ia boleh mencecah sehingga RM80 bergantung kepada lokasi jualan.
Katanya, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos sara hidup dan kekurangan generasi muda yang berminat mempelajari kemahiran tradisional itu, pihaknya tetap komited mempertahan warisan tersebut.
“Anak muda sekarang kurang berminat mempelajari kemahiran ini sedangkan ia seni warisan bangsa yang amat bernilai. Saya berharap warisan pembuatan songkok ini terus dipelihara supaya generasi akan datang masih dapat mengenali dan menghargai kemahiran tradisi Melayu,” katanya. – UTUSAN









