Cabaran menanti Hakim Danish di Hungary

Cabaran menanti Hakim Danish di Hungary

Cabaran baru menanti Hakim Danish di Litar Balaton Park yang merupakan trek baharu menjelang GP Hungary di Balaton, Hungary, hujung minggu ini. - Gambar Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menyesuaikan diri dan memahami ‘watak’ Litar Balaton Park menjadi cabaran buat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli menjelang Grand Prix (GP) Hungary, hujung minggu ini.

Litar Balaton Park merupakan trek baharu yang dikatakan memiliki reka bentuk kurang sesuai dengan gaya tunggangan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu.

Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, atas sebab itu, beliau jangkakan aksi di Hungary akan menjadi antara cabaran yang lebih sukar buat Hakim Danish, musim ini.

“Masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki bagi membolehkan Hakim tampil lebih kompetitif di litar ini. Namun, saya percaya dengan sikap dan semangat juang yang dimilikinya untuk terus berusaha berada dalam kelompok hadapan.

“Jika berdasarkan karakter litar semata-mata, ia mungkin tidak memihak kepada Hakim, tetapi sekiranya dia berjaya berada bersama kelompok pendahulu dan bersaing untuk kedudukan terbaik, itu sudah boleh dianggap sebagai bonus,” katanya di sini, semalam.

Pelumba berusia 18 tahun itu yang masih segar dengan kejayaannya mencatat keputusan podium di Litar Mugello, Itali, minggu lalu, kini berada di kedudukan ke-11 keseluruhan dalam senarai pelumba Moto3 selepas mengumpul 43 mata.

Menurut Zulfahmi, beliau melihat keyakinan Hakim Danish kini semakin meningkat selepas perlumbaan di Itali.

Katanya, apa yang lebih penting kini adalah pelumba itu wajib memahami apa yang diperlukan untuk berada dalam kelompok hadapan dan bagaimana menguruskan perlumbaan apabila bersaing merebut podium.

Sementara itu, Hakim Danish pula berkata, banyak pengajaran yang dia perolehi di Itali, terutamanya dalam aspek menguruskan perlumbaan dengan lebih matang selain kekal tenang di atas litar.

“Saya mendapat banyak pengalaman berharga apabila bersaing dalam kelompok hadapan, terutama belajar cara mengendalikan jentera dengan pelumba bertaraf dunia,” ujarnya.

Mengenai Litar Balaton Park, Hakim Danish memberitahu, dia akan cuba yang terbaik menyesuaikan diri dengan litar tersebut secepat mungkin kerana matlamatnya adalah untuk tampil kompetitif bermula daripada sesi latihan bebas sehingga ke hari perlumbaan.

“Setakat ini, persiapan berjalan lancar, saya harap dapat kekal konsisten dan analisis dengan menonton semula rakaman video perlumbaan penting untuk memperbaiki tunggangan saya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN