Pengubahan KSAS di Kelantan jejas usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi - Utusan Malaysia

Pengubahan KSAS di Kelantan jejas usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bercadang untuk menghentikan pembayaran Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kelantan jika cadangan pengubahan Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) oleh pihak kerajaan negeri diteruskan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia tidak selari dengan prinsip pelaksanaan EFT, iaitu insentif kewangan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan yang diperkenal pada 2019 bagi melindungi dan memulihara kawasan penting untuk kepelbagaian biologi termasuk KSAS.

Katanya, setakat ini lebih RM29 juta telah diperuntukkan kepada Kelantan dari 2019 hingga tahun ini manakala jumlah peruntukan EFT mengikut tahun adalah seperti berikut:

  1. RM5.81 juta (2019);
  2. RM5.93 juta (2020);
  3. RM5.93 juta (2012);
  4. RM11.47 juta (2023).

Menurutnya, di bawah Bajet 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menaikkan jumlah peruntukan EFT untuk seluruh negara dari RM150 juta setahun (2023) ke RM200 juta (2024).

“Sebelum itu, EFT adalah RM70 juta setahun. Oleh itu kerajaan negeri Kelantan sepatutnya memanfaat peruntukan EFT yang telah disediakan dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, cadangan perubahan Pelan Pembangunan yang melibatkan pengubahsuaian

KSAS di Kelantan boleh menjejaskan usaha-usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi dan adalah tidak selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK 2022-2030) yang dilancarkan pada 24 Oktober lalu.

Katanya, ia juga menjejaskan sasaran negara untuk meningkatkan peratusan kawasan perlindungan (protected areas) bagi memenuhi obligasi di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Selain itu katanya, pengubahsuaian KSAS akan memberi impak kepada komitmen Malaysia terhadap Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil, pada 1992, yang beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan dicapai.

“Saya berharap agar kerajaan negeri Kelantan menimbang semula cadangan pengubahan Rancangan Pemajuan melibatkan KSAS di Kelantan dan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan melalui kementerian ini untuk mengukuhkan pengurusan kepelbagaian biologi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN