PETALING JAYA: Peluang skuad berbasikal negara untuk menuai lebih banyak pingat emas di Sukan SEA 2025 berdepan risiko apabila tiga acara kegemaran berkemungkinan tidak dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata tiga acara tersebut adalah kejar-mengejar berpasukan lelaki, keirin lelaki dan pecut berpasukan lelaki.
Katanya, berdasarkan penyertaan dari negara yang mengambil bahagian, tidak banyak negara yang berminat untuk menyertai tiga acara tersebut.
“Contohnya, Singapura tidak menghantar sebarang wakil untuk acara keirin. Indonesia pula mereka fokus pada acara yang menguji ketahanan dan bukannya pecut.
“Jadi, kami menghadapi masalah untuk mematuhi syarat minimum (penyertaan) kerana jika tidak cukup penyertaan acara itu tidak dapat dipertandingkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Beliau berkata, jika tiga acara tersebut tidak dipertandingkan ia bakal digantikan dengan acara omnium lelaki dan wanita serta scratch lelaki.
“Saya telah diberitahu bahawa pada Jun ini akan diadakan mesyuarat Persekutuan Sukan SEA di mana perkara ini turut dibincangkan. Ada kemungkinan bahawa acara dipertandingkan pada Sukan SEA 2025 akan berubah,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir trek basikal dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu ketika negara menjadi tuan rumah pada 2017 di mana Malaysia memenangi 13 pingat emas termasuk kejar-mengejar berpasukan lelaki, keirin lelaki dan pecut berpasukan lelaki. – UTUSAN










