Cermin diri sebelum tetap gaji - Wan Jamak 

Cermin diri sebelum tetap gaji – Wan Jamak 

Wan Jamak Wan Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak pengurusan mana-mana kelab bola sepak dinasihatkan untuk menitikberatkan beberapa faktor terutamanya kedudukan kewangan sebelum menawarkan jumlah gaji tinggi kepada pemain atau jurulatih.

Pemain juga diingatkan untuk tidak meminta gaji terlalu tinggi yang tidak sepadan dengan sumbangan yang mampu diberikan mereka kepada kelab berkenaan.

Meskipun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh menetapkan apa sahaja syarat, namun pada akhirnya kelab sendiri yang perlu bijak berbelanja bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah kewangan dikemudian hari.

Pandangan itu dilontarkan oleh bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata isu tetapkan gaji siling ini sebenarnya bergantung kepada kemampuan dan pengurusan kelab berkenaan.

“Tentang isu gaji siling atau jumlah gaji perlu dibayar kepada seseorang pemain bergantung kepada kedudukan kewangan kelab sendiri kerana mereka lebih tahu kemampuan untuk membayarnya. 

“Bagi saya jika pemain itu mampu bagi sumbangan besar dan memiliki latar belakang semasa yang menarik, tidak salah untuk bayar gaji lumayan tetapi semuanya bergantung kepada kemampuan kelab.

“Jika tidak mampu jangan ambil pemain itu dan cari pemain lain sesuai dengan bajet kelab. Pemain juga kalau boleh jangan terlalu minta gaji tinggi jika pencapaian tidak seberapa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

MFL mengesahkan pelaksanaan sepenuhnya peraturan Financial Fair Play (FFP) bermula musim 2025-2026 dengan penguatkuasaan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab.

Setiap pasukan Liga Super tidak dibenarkan membelanjakan lebih 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan mereka untuk pembayaran gaji, langkah yang dilihat mampu mengekang beban aliran tunai dan menjamin pembayaran gaji secara konsisten.

Untuk rekod, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC telah tersingkir daripada Liga Super selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan mengalami masalah kewangan pada saingan musim lalu.

Sementara, Kuala Lumpur City (KL City) FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC, dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ mengikut artikel 8 (l) MFL CLR.

Mereka perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei ini. 

Kegagalan mematuhi ketetapan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen kebangsaan mereka ditarik balik oleh FIB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN