Israel dakwa bunuh pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar - Utusan Malaysia

Israel dakwa bunuh pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar

Mohammed Sinwar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel mendakwa tenteranya membunuh pemimpin Hamas, Mohammed Sinwar, yang didakwa mendalangi serangan pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel, bersama arwah abangnya, Yahya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan tentera rejim Zionis berjaya menghapuskan seorang demi seorang pemimpin Hamas termasuk Sinwar yang digelar ‘shadow’ atau bayang-bayang.

Memetik laporan media Israel, Sinwar menjadi sasaran serangan udara di selatan Gaza awal bulan ini, manakala abangnya terkorban pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Sewaktu di Parlimen, Netanyahu menyifatkan pencapaian perang selama 600 hari itu kononnya berjaya mengubah wajah Asia Barat.

“Kami telah mengusir pengganas keluar dari wilayah kami, memasuki Semenanjung Gaza dengan kekuatan, menghapuskan puluhan ribu pengganas, menghapuskan… Mohammed Sinwar,” katanya.

Di Washington pula, Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff menyuarakan keyakinan terhadap kemungkinan gencatan senjata, dengan menjangkakan pihaknya akan mencadangkan satu pelan dalam masa terdekat.

“Saya sangat positif mengenai usaha mencapai resolusi jangka panjang, gencatan senjata sementara dan penyelesaian damai terhadap konflik itu,” katanya.

Bagaimanapun, rakyat Gaza tidak yakin dengan ‘janji’ itu.

Tentera rejim Zionis dilaporkan merancakkan serangan tenteranya awal bulan ini, sementara perantara masih berusaha mencapai gencatan senjata yang diakui sukar dikecapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×