Penduduk berdepan gangguan liputan ekoran menara

Penduduk berdepan gangguan liputan ekoran menara telekomunikasi diceroboh

AHMAD Sabri Yusuf menunjukkan kotak suis menara telekomunikasi yang rosak akibat diceroboh pihak tidak bertanggungjawab di Kampung Sungkup, Bukit Selambau di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Hampir 600 penduduk Kampung Sungkup di sini berdepan gangguan liputan telekomunikasi sejak minggu lalu ekoran salah sebuah menara telekomunikasi di kampung itu diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut penduduk, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan dan kelajuan internet, bahkan memaksa mereka mengeluarkan wang tambahan untuk membeli peranti tambahan bagi menggunakan jaringan tanpa wayar (WiFi).

Seorang pesara, Ahmad Sabri Yusuf, 59, berkata, penduduk hairan kerana capaian internet di kampung mereka terlalu rendah sedangkan masalah itu tidak pernah dialami sejak pembinaan menara telekomunikasi di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela) dua tahun lalu.

“Saya menyedari gangguan telekomunikasi itu berlaku pada pagi Ahad lalu kerana berpunca daripada menara telekomunikasi di dalam kampung kami yang diceroboh.

“Ketika itu saya berada berdekatan menara tersebut untuk mengawasi lembu ternakan dan menyedari kunci mangga di pintu menara itu dipotong manakala peti suisnya turut terbuka dan terdapat kesan digeledah,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungkup, Bukit Selambau semalam.

Menurut Ahmad Sabri, dia kemudian terus menghubungi pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Kedah untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Suriwati Mohamad Shukor, 43, berkata, dia hairan kerana tiada capaian internet di kawasan kampung mereka sepanjang minggu lalu.

“Anak saya yang masih bersekolah merungut kerana tidak boleh menggunakan internet untuk membuat kerja-kerja dalam talian yang diberi oleh guru sekolahnya.

“Bagi memudahkan urusannya, saya terpaksa mengeluarkan wang mengupah untuk memasang WiFi di rumah kami kerana masih terdapat satu lagi menara yang boleh beroperasi walaupun capaiannya agak terhad,” katanya.

Azizan Awang, 62, pula berkata, dia juga terpaksa berbelanja lebih bagi membeli data tambahan untuk memudahkan capaian internet selepas kawasan kampungnya mengalami gangguan liputan telekomunikasi.

“Data tambahan yang dibeli itu bernilai RM35 sebulan dan ini memang menjejaskan pendapatan kami yang rata-ratanya terdiri daripada pekerja kampung.

“Tetapi, jika tidak berbuat demikian ia mendatangkan masalah terhadap penggunaan internet sama ada untuk berhubung dengan anak-anak di luar daerah atau sebagainya,” katanya.

Terdahulu, SKMM memaklumkan, aduan kejadian pencerobohan itu diterima daripada penduduk kampung berkenaan pada 15 Oktober lalu dan pemeriksaan mendapati wujud kesan vandalisme termasuk kabel dipotong selain peralatannya dicuri.

SKMM bersama pihak penyelia perkhidmatan yang dilantik mengurus menara berkenaan kemudian membuat laporan polis dan kini sedang mengambil beberapa langkah untuk memulihkan kembali perkhidmatan telekomunikasi di sekitar kampung berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN