Pemegang biasiswa langgar kontrak, UiTM rugi RM51.08 juta

Pemegang biasiswa langgar kontrak, UiTM berisiko rugi RM51.08 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh kehilangan hasil berjumlah RM51.08 juta selepas lewat melaksanakan proses tuntutan ganti rugi terhadap 239 pemegang biasiswa yang melanggar kontrak.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021, kelemahan dalam pelaksanaan tindakan tuntutan ganti rugi terhadap pemegang biasiswa yang langgar kontrak itu juga melibatkan kehilangan hasil berjumlah RM7.49 juta.

“Sampel yang dipilih adalah seramai 381 pemegang biasiswa yang pecah kontrak atau 25.5 peratus daripada 1,496 penghutang pecah kontrak sehingga bulan Disember 2021.

“Semakan Audit mendapati seramai 86 daripada 381 penghutang pecah kontrak dengan nilai hutang keseluruhan berjumlah RM6.23 juta telah dihapus kira pada tahun 2019 oleh Jawatankuasa Kewangan dan Pembangunan (JKP) UiTM.

“Hapus kira terhadap penghutang pecah kontrak berjumlah RM6.23 juta disebabkan had masa melebihi enam tahun daripada tarikh pecah kontrak yang menghalang UiTM melaksanakan proses pemfailan saman di mahkamah dan kehakiman, penghutang telah difailkan kebankrapan dan ketiadaan fail penghutang yang pecah kontrak di Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) UiTM,” menurut LKAN 2021.

Sementara itu, LKAN 2021 memaklumkan, semakan audit mendapati 259 pemegang biasiswa telah pecah kontrak kerana gagal menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam perjanjian dengan nilai keseluruhan ganti rugi berjumlah RM52.34 juta.

“Sehingga 31 Disember 2021, seramai 201 daripada 259 pemegang biasiswa tersebut, yang pecah kontrak sejak tahun 1999 masih belum dibawa kepada kelulusan Jawatankuasa Induk Peningkatan Kerjaya Sumber Manusia UiTM (JKI-PKSM) untuk melaksanakan tindakan tuntutan ganti rugi berjumlah RM42.63 juta melibatkan kelewatan antara 1 hingga 22 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, kelewatan dalam menyediakan kertas kerja untuk kelulusan JKI-PKSM dan juga ketiadaan beberapa dokumen berkaitan pemegang biasiswa pecah kontrak dikenal pasti menjadi punca tindakan tuntutan ganti rugi pecah kontrak gagal dilaksanakan.

“Penambahbaikan dalam pelaksanaan tindakan tuntutan ganti rugi membolehkan UiTM mengawal selia kewangan secara efektif dan membelanjakan semula hasil tersebut untuk tawaran biasiswa kepada kakitangan lain pada masa hadapan,” menurut LKAN 2021.
Laporan audit itu mengesyorkan, UiTM diharap dapat memastikan pekeliling, prosedur kerja dan kontrak yang berkuat kuasa dipatuhi, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap bagi tuntutan ganti rugi ke atas pemegang biasiswa yang pecah kontrak.

“Selain itu, menambah baik koordinasi, komunikasi dan pemantauan kerja antara Bahagian Kemajuan Kerjaya UiTM, Unit Kewangan Zon 2, Pejabat Bendahari dan Pejabat PUU UiTM sama ada di peringkat pelaksanaan atau pengurusan tertinggi, berhubung tindakan perundangan dan kutipan semula Wang Awam.

“UiTM juga disyorkan untuk memastikan pekeliling dan kontrak tuntutan ganti rugi ditambah baik antaranya dengan menerangkan secara terperinci bagi pemberhentian tindakan undang-undang terhadap penghutang pecah kontrak yang tamat pengajian di luar tempoh pengajian yang sepatutnya,” menurut laporan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN