PETALING JAYA: Pelajar sekolah antara 4,509 individu yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi Op Tapis Khas seluruh negara.
Menerusi operasi yang dijalankan sejak Selasa lalu sehingga kelmarin itu, pelbagai dadah serta aset keseluruhan bernilai RM2.81 juta dirampas.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, operasi yang dijalankan bagi menggempur kawasan Felda, Felcra, projek perumahan rakyat (PPR) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), perkampungan nelayan serta sekatan jalan raya.
Kata beliau, seramai 5,014 individu diperiksa dan 4,509 individu berusia 14 tahun hingga 70 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
“Daripada mereka yang ditahan itu, 482 individu termasuk penjawat awam dan pelajar disyaki menjadi tokan manakala penagih (2,232 orang); individu dikehendaki (195 orang) dan 1,600 lagi mereka terbabit kesalahan lain.
“JSJN turut merampas 129.83 kilogram dadah dan 492.26 liter cecair disyaki dadah bernilai RM1.70 juta. Antaranya heroin, syabu, ganja, ketamin, erimin 5, pil yaba, ekstasi, pil psikotropik, daun ketum, air ketum serta kodein,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh 264,240 penagih.
Beliau berkata, JSJN turut menyita pelbagai aset termasuk wang tunai, kenderaan, barang kemas dan jam tangan keseluruhan bernilai RM1.10 juta.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Operasi membabitkan kekuatan 2,528 pegawai dan anggota itu dijalankan bagi mengesan sindiket pengedaran dadah serta individu yang dikehendaki polis selain memusnahkan lokasi penagihan dadah,” katanya.
Untuk rekod, Op Tapis Khas yang dijalankan sejak Januari hingga kelmarin sudah menahan 17,147 individu dan merampas 2,434.27 kilogram serta 4,460.14 liter dadah bernilai RM23.91 juta. – UTUSAN