Peguam disiasat terlibat pengubahan wang haram pemulihan aset 1MDB - Utusan Malaysia

Peguam disiasat terlibat pengubahan wang haram pemulihan aset 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu siasatan sedang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penglibatan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.

Satu sumber mendedahkan, salah seorang individu terlibat adalah peguam yang didakwa menerima sejumlah wang rasuah yang dikatakan telah dilaburkan di dalam sebuah syarikat yang menjalankan pelaburan tidak berlesen yang pernah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia pada 2021.

Sumber itu berkata, peguam terlibat juga sebelum ini dikatakan telah dilantik oleh 1MDB bagi menyelesaikan isu aset 1MDB dengan syarikat luar negara.

“Pegawai SPRM telah hadir ke firma guaman terlibat hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan penyiasatan tersebut,” kata sumber itu.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut yang dijalankan berkaitan kes rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Kata beliau, siasatan juga dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam pada itu, Azam turut menafikan kehadiran pegawainya ke premis peguam tersebut menyalahi mana-mana akta yang berkuatkuasa.

“Kita (SPRM) mematuhi peraturan serta menyedari privasi antara peguam berkenaan dan klien-kliennya,” katanya.

Peguam peribadi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Rosli Dahlan mendakwa bahawa SPRM menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi tadi.

Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.

Pegawai SPRM yang diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut.

“Kami memaklumkan pegawai SPRM, mereka tidak boleh menyalah guna kuasa mereka dan mereka tidak diberi kuasa untuk merampas dokumen terlindung firma guaman di bawah seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya