Pastikan boleh menang jika mahu saman kerajaan 

Pastikan boleh menang jika mahu saman kerajaan 

Mahkamah
ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mengalu-alukan Pakatan Harapan Sabah (PH Sabah) memfailkan semula tindakan undang-undang yang telah ditarik balik, berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri itu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali bagaimanapun mengingatkan plaintif, yang mereka perlu yakin menang jika mahu mengheret semula kerajaan ke mahkamah. 

“Jika kita (plaintif) mahu bawa sesuatu kes ke mahkamah, pastikan anda boleh menang. Jika tidak menang, ini akan mengurangkan kuasa tawar-menawar (bargaining power) dalam menuntut hak dan kepentingan negeri jika mahkamah memutuskannya. 

“Saya bercakap atas kapasiti sebagai anak jati Sabah sendiri dan tiada halangan (jika bawa kes ini ke mahkamah). 

“Namun, pastikan bila bawa ke mahkamah anda cukup yakin boleh menang di mahkamah kerana anda membawa aspirasi dan perjuangan rakyat Sabah.

“Jika tidak, bargaining power yang selalu disebut mengenai 40 peratus ini kelak berkurang,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan dibangkitkan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau [PH-Tuaran] bahawa keputusan plaintif menarik balik saman pemula, kerana kerajaan telah memberi jaminan akan melaksana hak 40 peratus hasil negeri kepada Sabah pada Julai 2024. 

Beliau juga bertanya apakah halangan atau cabaran kerajaan u membuat keputusan berhubung perkara itu kerana jangka masa yang diberi terlalu lama. 

Pada 20 September lalu, PH Sabah menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil negeri dan perintah mahkamah supaya kerajaan memperakui dan memberi hak-hak negeri itu. 

Sebanyak 12 pemimpin PH Sabah termasuk Wilfred dalam kenyataan berkata, keputusan menarik balik saman itu mengambil kira pendapat undang-undang berhubung kedudukan plaintif dalam saman pemulanya sebagai ahli Kabinet Persekutuan dan negeri ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, plaintif bebas memfailkan semula saman tersebut jika beberapa isu tidak dipersetujui dan diselesaikan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 (Jawatankuasa Teknikal) yang dibentuk.  

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemberian 40 peratus hasil negeri tidak semudah yang dilakukan kerana terdapat peruntukan undang-undang yang mesti diteliti. 

“Sebarang semakan perlu mengambil kira dua perkara yang pastinya keperluan kerajaan negeri dan kemampuan kewangan kerajaan Persekutuan. 

“Namun, saya harap walaupun disebut tentang kemampuan kerajaan, paling penting ialah kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak Sabah di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

FORMULA TETAP 

Dalam pada itu, Armizan memberitahu ketika ini belum ada formula tetap pemberian khas yang sama dengan nilai 40 peratus. 

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] mengenai formula tetap yang diguna kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah atau berbentuk interim tahunan sebanyak RM300 juta setahun.  

“Belum ada formula dimuktamad. Namun, kerajaan berprinsip memastikan Sabah dan Sarawak menerima kadar yang lebih tinggi dari sedia ada,” katanya. 

PEMBERIAN KHAS 

Pada 7 Mac lalu, Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amaun pemberian khas kepada kerajaan Sabah bernilai RM125.6 juta yang dinaikkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini masih berkuat kuasa hingga kini. 

Katanya, pemberian khas itu akan terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun sehingga terdapat persetujuan formula baharu dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah. 

Bagaimanapun, pada 20 Januari 2023, Anwar mengumumkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan formula pemberian khas lebih baik kepada Sabah dan Sarawak termasuk meningkatkan kadar pemberian khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini. 

Katanya, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula tetap diputuskan.  

Pada 2022, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan untuk menyalurkan pemberian khas tempoh 5 tahun iaitu RM125.6 juta (2022); RM129.7 juta (2023); RM133.8 juta (2024); RM138.1 juta (2025) dan RM142.6 juta (2026). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN