PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) tetap perlu dilaksanakan tidak mengira kaedah mengundi berasaskan parti ataupun individu sekiranya berlaku kekosongan kerusi luar jangka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) sukar untuk dielakkan sekiranya kekosongan berlaku.
Katanya, disebabkan perkara itu, langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan kekosongan kerusi luar jangka adalah dengan cara meletakkan wakil rakyat yang mempunyai nilai kualiti terbaik.
“Tentang PRK, ia tetap akan berlaku kalau ada kerusi kosong. Tidak kira cara macam mana, ia menjadi kosong, cumanya pilih wakil rakyat yang betul-betul berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, di bawah sistem demokrasi ala Westminster yang diamalkan perlembagaan Malaysia, rakyat selaku pengundi akan memilih calon mewakili parti atau berdasarkan individu, namun apa yang menjadi kepentingan adalah kelayakan mereka dalam mewakili setiap parti.
Wan Ahmad berkata, setiap parti juga wajib mempunyai senarai semak dalam mengenal pasti bakal-bakal calon yang akan bertanding bagi mengelakkan berlaku kekosongan luar jangka.
“Melainkan atas sebab kematian, satu sahaja cara untuk kita elak, pastikan wakil-wakil ini melalui sistem dan tapisan ketat. Periksa rekod jenayah, insolvensi dan rekod kesihatan mereka,” katanya.
Katanya, setiap PRK yang dilaksanakan akan memakan belanja yang besar yang akan merugikan wang rakyat sekiranya dilaksanakan terlalu kerap. –UTUSAN










