Padi turun harga, benih pula naik 20 peratus

Padi turun harga, benih pula naik 20 peratus

Para pesawah terus tertekan apabila mendakwa harga padi makin jatuh tetapi harga benih meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehidupan 248,000 pesawah kini semakin tidak menentu apabila pengilang didakwa membeli padi dengan harga murah tetapi benih pula naik sehingga 20 peratus.

Harga benih padi sebelum ini RM35 sekampit guni bagi berat 20 kilogram namun kadarnya didakwa akan dinaikkan sehingga RM55 pada musim bersawah yang sepatutnya dijadualkan bermula penghujung September lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain mendakwa, kenaikan harga tersebut disebabkan pengilang membeli harga benih daripada pesawah ladang benih pada harga RM1,800 setiap tan berbanding RM1,300 sebelum ini.

Menurut beliau, walaupun kenaikannya dijangka sekitar RM20 namun kesannya amat besar terhadap pesawah bahkan dijangka mengganggu rantaian pertanian khususnya membabitkan makanan ruji rakyat tersebut.

“Bayangkan, jika benar harganya dinaikkan ke RM55 untuk 20 kilogram ia akan meningkatkan kos pesawah sedangkan jualan hasil menuai sejak kelmarin sudah turun kepada RM1,200 satu tan berbanding RM1,700 sebelum ini.

“Satu relung bendang memerlukan sekurang-kurangnya 40 kilogram benih padi untuk dipenuhkan, jadi pesawah terpaksa membelinya pada harga sekitar RM110 bagi setiap relung. Ini meningkatkan kos pesawah,” katanya.

Beliau berkata, alasan membeli benih padi pada harga tinggi daripada pesawah ladang benih adalah tidak masuk akal kerana kadar tersebut tidak ditetapkan oleh mana-mana pihak.

“Kebanyakan pesawah menyatakan kekesalan kerana tiada harga siling ditetapkan berkaitan isu benih padi ini, ia sangat menekan pesawah,” katanya.

Difahamkan, terdapat 11 kilang beras di seluruh Malaysia yang memproses benih padi sebelum diedarkan kepada pesawah.

Pada masa sama, Che Ani berkata, pematuhan jadual penanaman padi juga terpaksa ditukar memandangkan sehingga kini pesawah belum memperoleh bekalan benih padi yang sepatutnya diterima sebelum 29 September lalu.

“Buat masa ini, padi benih  belum lagi diedarkan sedangkan jika mengikut jadual penanaman ia sepatutnya bermula pada 29 September lalu untuk musim terbaharu ini.

“Disebabkan ketiadaan benih padi, jadual penamaman terpaksa berubah. Ini merugikan pesawah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd. Fuad Yaakob turut memaklumkan perkara sama berkaitan kenaikan harga benih padi walaupun kadar sebenar masih belum ditetapkan.

Menurutnya, harga benih padi yang dibeli pengilang daripada pesawah ladang tidak ditetapkan oleh mana-mana pihak namun harganya di pasaran dikawal oleh Kawalselia Padi dan Beras.

“Jadi timbul persoalan di sini adakah harga benih padi yang dijual kepada pesawah akan naik mencanak kerana berdasarkan hitungan secara kasar harganya sepatutnya meningkat sekitar 20 peratus iaitu RM55 bagi sekampit benih.

“Jika pihak Kawalselia mengawal harga benih di pasaran, pengilang akan menanggung kerugian, tetapi jika tidak berbuat demikian pesawah pula menjadi mangsa kerana terpaksa menanggung peningkatan kos.

“Harga beras kamu kawal tapi harga benih yang digunakan pesawah tiada kawalan. Jika kilang memboikot stok benih pesawah nak tanam padi macam mana,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×