Nelayan hilang hampir 16 jam ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Nelayan hilang hampir 16 jam ditemukan lemas

NELAYAN yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Perak dekat Hutan Melintang ditemukan lemas hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Perak dekat Kampung Pasang Api, Hutan Melintang di sini awal pagi tadi, berakhir dengan penemuan mayat mangsa.

Mayat Amir Hamzah Shaari, 53, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 5.20 petang selepas kira-kira 16 jam dilaporkan hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa dijumpai pada jarak 400 meter dari lokasi bot dinaikinya karam.

Katanya, pasukan penyelamat membawa lelaki terbabit naik ke tebing namun pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

“Mangsa yang memakai baju berwarna hijau dan berseluar pendek itu dijumpai pasukan penyelamat tersangkut pada kayu pancang.

“Mayat mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) iaitu kudung kaki kanan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 1.12 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, bot nelayan dinaiki mangsa bersama seorang rakan dan anak lelakinya karam namun kedua-dua mereka berjaya diselamatkan orang awam.

“Operasi SAR mangsa disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9) bomba.

“Misi pencarian dimulakan di kawasan Pasang Api menghala ke Beting Beras Basah dengan jarak pencarian diperluaskan sehingga tiga kilometer (KM) ke muara sungai dan 5KM ke arah Teluk Intan,” katanya.

Tambahnya, selain pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), operasi SAR turut disertai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, PPDA Teluk Intan dan dua ekor anjing dari unit K9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN