Nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin diserah Interpol - Utusan Malaysia

Nama dua individu termasuk menantu Muhyiddin diserah Interpol

MUHAMMAD ADLAN BERHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permohonan notis merah ke atas dua individu termasuk Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan itu dilakukan sebaik sahaja pihak polis menerima beberapa dokumen dan maklumat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita (polis) telah terima daripada SPRM pukul 3 petang tadi. Jadi, kita telah panjangkan kepada Interpol,” katanya di sini.

Kata beliau, sebaik sahaja nama kedua-dua individu berkenaan sudah berada dalam senarai merah, pihak negara dimana individu itu berada perlu memaklumkan semula kepada negara pemohon.

“Bila sudah ada notis merah ini, sekiranya pihak negara dimana suspek itu berada tahu akan keberadaan mereka maka menjadi tanggungjawab mereka memaklumkan negara pemohon untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, draf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Interpol sebelum notis merah dikeluarkan kepada dua individu termasuk Muhammad Adlan.

Beliau berkata, SPRM tidak boleh membuat permohonan notis merah secara terus kepada Interpol sebaliknya perlu melalui PDRM.

Mengulas lanjut berkaitan dokumen itu,Azam berkata, antara yang diperlukan ialah draf pertuduhan dan sebagainya.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis sedang menunggu beberapa maklumat dari SPRM sebelum menghantar permohonan secara rasmi kepada Interpol sekali lagi.

Ayob Khan berkata, terdapat beberapa isu teknikal yang kini masih dalam proses dikemas kini SPRM.

Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kes membabitkan Muhammad Adlan, 48 serta peguam, Mansoor Saat, 69. 

Kedua-dua individu ini dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.

Bagaimanapun Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.

Pada 23 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Adlan Berhan, dan seorang lagi lelaki iaitu Mansoor Saat, 69, masih gagal tampil membantu siasatan SPRM selepas menghilangkan diri sejak Mei lalu.

Keberadaan menantu Pengerusi Perikatan Nasional itu tidak dapat dipastikan pihak berkuasa selepas mereka mendiamkan diri serta tidak membalas setiap kali dihubungi pegawai penyiasat.

SPRM juga ada cuba menghubungi mereka melalui peguamnya tetapi gagal kerana tidak memberi kerjasama yang baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya