PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lain membabitkan kes pelaburan syarikat i-serve yang mempunyai kaitan dengan pengasas syarikat penerbangan MYAirline.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagaimanapun, semuanya bergantung kepada siasatan.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek yang sedang direman berkaitan kes itu.
“Seorang lelaki berperanan sebagai peguam i-serve telah diberikan jamin polis, semalam di Balai Polis Pudu.
“Bagaimanapun, kita akan panggil semula peguam tersebut untuk sambung rakaman percakapan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jumaat lalu, empat lagi suspek berusia 30 hingga 62 tahun ditahan di pejabat JSJK di Jalan Tun Razak dan Bukit Tunku di sini bagi membantu siasatan berhubung kes pelaburan i-Serve.
Penahanan dua wanita dan dua lelaki itu menjadikan tangkapan kes tersebut setakat ini lapan orang.
Ramli berkata, tiga suspek termasuk dua wanita dipercayai bekerja sebagai kakitangan i-Serve bagi menguruskan kewangan, dokumen berkaitan dan perisian sistem.
Ketiga-tiga mereka dilantik menjadi lembaga pengarah rangkaian syarikat berkaitan i-serve.
Turut ditahan, seorang peguam i-Serve bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN










