Musim banjir: Pegawai KPKT wajib turun padang - Utusan Malaysia

Musim banjir: Pegawai KPKT wajib turun padang

NGA Kor Ming (kanan) melihat pelan naik taraf Pasar Awam Sungai Buloh pada lawatan kerja Program Sentuhan Kasih KPKT di Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Semua pegawai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) khususnya kepimpinan tertinggi wajib turun padang setiap minggu bagi memantau banjir yang dijangka berlaku pada musim monsun penghujung tahun ini.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, arahan itu turut membabitkan menteri, Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Pegawai Daerah (DO) serta pemimpin pihak berkuasa tempatan supaya dapat mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, arahan juga akan dikeluarkan untuk memantau kerja-kerja kontraktor supaya menjalankan kerja mengikut jadual sebagai persediaan berdepan musim hujan dan banjir.

“Dasar kerajaan adalah sangat jelas, semua pegawai khususnya barisan kepimpinan tertinggi daripada menteri, KSU, YDP (Yang Dipertua) dan DO (pegawai daerah) wajib turun padang setiap minggu.

“Semua pegawai wajib turun padang. Kerana inilah cara yang betul untuk menyelami perasaan dan mendengar rintihan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput di sini hari ini.

Katanya, KPKT memperuntukkan RM20 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

“Kita semua maklum bahawa kita semua berada di ambang ketibaan Monsun Timur Laut. Sejak bulan lepas saya telah menggesa semua 155 PBT untuk segera menyelenggara longkang-longkang utama bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di bandar-bandar,”

Dalam lawatan kerjanya, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan dan perbelanjaan lebih RM11 juta untuk kawasan Sungai Siput yang berada dibawah seliaan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Peruntukan itu dibelanjakan untuk pelbagai usaha menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan awam termasuklah projek baik pulih rumah, gelanggang badminton, Pasar Awam Sungai Buloh serta serta saliran perparitan dan longkang.

Perbelanjaan lain ialah sebanyak RM1.65 juta bagi menyelenggara kolam tadahan Taman Muhibbah Jaya, Kampung Muhibbah Rimba Panjang, Taman Lintang Makmur, Pesiaran Kledang 8 serta kolam takungan RPA Salak, Kampung Baru Salak 1 dan Kampung Salak Baru/Salak Utara.

Peruntukan turut diberi untuk menaiktaraf lampu-lampu jalan, membaik pulih Dewan Sungai Siput, projek pembangunan di Kampung-kampung Baru seluruh daerah Sungai Siput serta kepada Inisiatif rumah ibadat bukan Islam kepada Kuil Hindu Sri Subramanyar Alaya Devasthana Paribalana Saba Sungai Siput (Utara). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya