Muhyiddin dakwa BN masih gagal menambah sokongan

Muhyiddin dakwa BN masih gagal menambah sokongan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) didakwa masih gagal memperkukuh sokongan terhadap parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, semalam walaupun mendapat sokongan daripada parti lain.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN gagal menambah sokongan walaupun sudah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, seluruh jentera dan sumber kerajaan sudah di kerah secara terang-terangan untuk membantu kempen, namun BN tetap gagal.

“Saya percaya seperti mana trend dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan siri PRK sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi yang ketara antara PH dan BN.

“Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.

Dalam PRK DUN Pelangai semalam, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan menewaskan calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dengan majoriti 2,949 undi.

Amizar memperoleh 7,324 undi, manakala Kasim dan Haslihelmy, masing-masing mendapat 4,375 dan 47 undi. 

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun PN tidak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, tetapi, tetap sudah menunjukkan prestasi yang baik.

“Walaupun PN tidak memenangi kerusi tersebut, PN menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi

“Majoriti yang diperoleh oleh BN pula merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK ini,” katanya.

Untuk rekod, Amizar berjaya mempertahankan DUN Pelangai yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN