Monsun Timur Laut: Kapasiti tujuh empangan dikurangkan - Utusan Malaysia

Monsun Timur Laut: Kapasiti tujuh empangan dikurangkan

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kapasiti air di tujuh empangan negeri ini dikurangkan sebagai usaha untuk menampan risiko banjir pada musim Monsun Timur Laut yang berpotensi mengakibatkan bencana itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, inisiatif pelepasan air empangan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) secara optimum bermula Ogos lalu hingga hujung tahun ini dilihat memberi impak positif. 

Jelas beliau, pelepasan air bagi tujuh empangan yang dikawal selia LUAS itu bertujuan mengurangkan kapasiti simpanan air empangan ke tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates ke tahap 85 peratus.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air itu merupakan inisiatif dalam menyediakan ruang mencukupi bagi semua empangan dan kesiapsiagaan jika menerima kadar intensiti hujan tinggi.

“Ia juga bagi mengelak limpahan air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku,” katanya hari ini.

Menurut Izham, rekod sistem pemantauan kapasiti semasa empangan negeri  (IWRIMS) mendapati berlaku peningkatan lima peratus kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates berikutan hujan lebat kelmarin.

“Namun, tiada berlaku sebarang limpahan empangan susulan ruang masih cukup bagi menampung kehadiran hujan luar biasa pada masa ini,” ujarnya.

Tambah beliau, sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ia turut mengambil kira tren paras air sungai semasa dan ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari oleh Jabatan Meteorologi. Sehubungan itu, tiada pelepasan akan dibuat jika paras sungai menunjukkan  tren meningkat serta hujan lebat di kawasan hilir,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya