Membiak sel tisu manusia - Utusan Malaysia

Membiak sel tisu manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDIVIDU yang kulitnya terbakar akibat bermain mercun, terkena asid atau ditimpa kemalangan ngeri mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mempunyai kulit baharu yang cantik dan sempurna seperti asal. 

Kaedah perubatan standard di hospital juga kebiasaannya mencari ganti kulit baharu dengan memotong mana-mana kulit lain di badan pesakit bagi menampal di sel tisu bermasalah. 

Namun, dengan perkembangan teknologi terkini dan usaha berterusan, penggantian tisu rosak pada tubuh manusia bukan sesuatu yang mustahil. 

Di Malaysia, kejuruteraan tisu merupakan bidang bioteknologi yang sedang berkembang pesat diterajui Hospital Canselor Tuanku Muhriz (PPUKM). 

Pusat tersebut berkerjasama dengan anak syarikat terbitan UKM, iaitu Cell Tissue Technology Sdn. Bhd. yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Khairul Idzwan Baharin bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan dari Pusat Kejuruteraan Tisu UKM kepada pasaran tempatan dan global. 

Kejuruteraan tisu banyak membantu pesakit berbanding perubatan standard yang tidak dapat mencapai kemajuan sama kerana lebih banyak menggunakan ubat atau dadah yang merupakan cecair sintetik. 

Kata Dr. Khairul kalau luka yang menyebabkan kehilangan kulit, kita perlu gantikan kulit tersebut dengan kulit baharu. 

Solusinya adalah dengan mengambil sel kulit pesakit sendiri dan dikembang biakkan di dalam makmal. 

“Pengkulturan kedua-dua jenis sel dilakukan secara berasingan kerana keperluan sel berbeza. 

Apabila sel secukupnya berjaya dihasilkan, kedua-dua lapisan kulit itu akan dicantumkan untuk berintegrasi dengan tubuh. 

“Berbanding perubatan semasa, ia menyebabkan lapisan kulit bermasalah akhirnya bertukar menjadi parut. 

“Analoginya seperti kereta rosak dan kita pergi terus ke kedai barang ganti. Bukan dibaiki masalah yang memang sudah rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

ISU KURANG ORGAN 

Penyelidikan kejuruteraan tisu sememangnya mendatangkan banyak manfaat sekiranya pengamal perubatan mengetahui kaedah mengaplikasikan dan memanipulasikannya. 

 

                                                                                                                                Sebagai contoh ia dapat membantu menyelesaikan isu ketiadaan dan kekurangan organ, menjana semula serta membaiki sel tisu yang hilang. 

“Ia adalah lanjutan dalam pemindahan organ dan menggunakan sel serta bukan organ penderma yang bekalannya terhad. 

“Apa yang manusia buat (ubat) tidak sama seperti apa yang Tuhan bagi. Kalau gabungkan kedua-dua kaedah ini, sudah tentu ia akan menjadi perubatan holistik. Terapi sel stem sebagai pelengkap perubatan moden,” katanya. 

Proses dan teknik yang dinamakan MyDermTM, dipatenkan dan membolehkan Cell Tissue Technology menjadi satu-satunya syarikat yang boleh mengkomersialkan produk perubatan seumpama MyDermTM. 

Menariknya, kata beliau, syarikatnya mensasarkan untuk menghasilkan lebih banyak produk perubatan berteknologi tinggi yang bukan sahaja menjurus kepada kulit tetapi hampir ke semua organ tubuh manusia. 

“Inshaa Allah, saya merancang untuk membina konsep makmal pintar yang akan mengaplikasikan penggunaan robot serta mempunyai analisis data besar. 

“Siapa tahu mungkin jadi syarikat bioteknologi pertama di negara ini memperkenalkan konsep sedemikian,” ujarnya yang mempunyai 50 staf termasuk penyelidik di UKM. 

KOS TINGGI 

Bagi sekeping tisu kulit baharu, Dr. Khairul berkata, ia boleh mencecah harga RM30,000. 

Harganya yang tinggi itu berpunca daripada penggunaannya yang belum meluas seperti di negara maju lain. 

Di Jepun, jelasnya, teknologi itu disubsidi oleh pihak kerajaan bagi setiap rakyatnya yang mengalami masalah kulit melecur atau terbakar. 

“Sebab harga tinggi itulah, saya berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) agar semua lapisan masyarakat berpeluang merasai teknologi dan prosedur rawatan ini. 

“Pada masa akan datang, mungkin kita boleh dapatkan jumlah pesakit yang lebih ramai. Jadi secara tidak langsung, sel kulit baharu dapat dihasilkan secara pukal.

“Kerjasama itu juga boleh dijalinkan dalam bentuk perlindungan insurans, kebajikan dan tajaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kaedah pembayaran secara ansuran. 

“Sekiranya ia berjalan dengan baik, kita menyasarkan sekeping sel kulit boleh didapati pada harga antara RM400-RM500,” ujarnya. 

MINAT BERNIAGA 

Beralih angin daripada bidang perubatan kepada ahli perniagaan, Dr. Khairul berkata, sejak zaman belajar perubatan di International Medical University, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, beliau sudah mula menunjukkan minat terhadap perniagaan. 

Walaupun ketika itu, katanya, platform e-dagang belum rancak, beliau sudah berjinak-jinak dengan platform eBay sehingga berjaya mencecah nilai jualan RM1 juta. 

“Masa itu belum bekerja. Bila zaman belajar sudah rasa pegang duit, saya jadi seronok. Pemikiran saya juga banyak berubah apabila dikelilingi ramai pelajar China di universiti. 

“Saya seperti pedagang dalam talian yang jual macam-macam barang seperti bahan mentah untuk produk penjagaan kulit. Contohnya, saya akan carikan barang selepas mendapat permintaan daripada pembeli di China. 

“Sejak itu, saya menimba ilmu dan mempunyai selok-belok tentang perniagaan. Paling penting ada modal,” katanya. 

Minat mendalam terhadap perniagaan membuatkan vokalis kumpulan Saujana ini sentiasa ingin mencuba perkara baharu dalam hidupnya. 

Sekalipun menuntut Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), Dr. Khairul tidak merasakan kecenderungan untuk berkhidmat sebagai doktor perubatan dalam tempoh lama. 

“Habis sahaja perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya buka pusat kecantikan pada 2007. Masa itu belum ada Medispa lagi. Sedar-sedar saya sudah ada empat cawangan ketika itu,” kongsinya. 

Pada 2010, beliau diperkenalkan dengan teknologi kejuruteraan tisu UKM dan dilantik menerajui projek sel tisu yang merupakan penyelidikan sulung di negara ini. 

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memperuntukkan bajet menghantar pakar dan profesor ke luar negara bagi mendalami kejuruteraan tisu pada 1989. Sebabnya, ia sangat diperlukan pada masa akan datang. 

“UKM mempelopori penyelidikan ini sebelum berkembang ke universiti tempatan lain. Saya bertindak sebagai pembolehcara untuk mengetengahkan kajian ini disebabkan penyelidik tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan,” katanya. 

CABARAN BISNES PERUBATAN 

Perniagaan berasaskan produk perubatan mempunyai cabaran tersendiri kerana perlu melalui ujian klinikal, pendaftaran serta menuntut proses yang panjang. 

Kata Dr. Khairul, konsepnya bukan hari ini buat produk, esok terus jual, sebaliknya perjalanan itu memakan masa bertahun-tahun. 

“Sebab itu, tak ramai yang mahu buat bisnes perubatan kerana perlu melalui syarat dan tapisan KKM yang sangat ketat. Setiap produk kita buat mesti melalui proses tersebut. Paling kurang memakan masa lapan tahun,” jelasnya. 

Walaupun menjalani rutin harian yang padat, Dr. Khairul turut berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta. 

“Ilmu dan kepakaran saya miliki dikongsi bersama agar generasi seterusnya dapat menyambung legasi perjuangan saya. 

“Cara saya mempromosikan sel tisu ini adalah melalui kesedaran pendidikan supaya orang ramai faham. Sebab itu, saya perlu pandai mengajar supaya ilmu itu dapat disampaikan dan dimanfaatkan. 

“Teknologi ini bukan seperti menjual produk kesihatan. Saya bukan hanya mahu duduk di klinik dan jumpa pesakit. Sebaliknya saya hendak didik bakal-bakal doktor yang akan menyambung usaha ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN