Mejar tak mengaku salah buat tuntutan palsu kelas bimbingan anak tentera - Utusan Malaysia

Mejar tak mengaku salah buat tuntutan palsu kelas bimbingan anak tentera

SEORANG pegawai tentera berpangkat Mejar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan bayaran kelas bimbingan anak tentera kira-kira lima tahun lalu. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pegawai tentera berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan bayaran kelas bimbingan anak tentera kira-kira lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nazeri Noor, 55, yang juga bapa kepada enam anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang pegawai sel pendidikan am Jabatan Arah Pendidikan di Kementerian Pertahanan dalam membuat tiga bayaran tuntutan bagi kelas bimbingan untuk anak-anak tentera kawasan Pulau Pinang bagi kategori UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan PT3 atau Pentaksiran Tingkatan Tiga.

Pegawai tersebut tidak akan memproses bayaran keseluruhan tuntutan itu yang berjumlah RM4,345 sekiranya beliau tahu kelas bimbingan berkenaan tidak dilaksanakan iaitu antara Februari hingga Ogos 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Mac hingga 24 September tahun yang sama di Sel Pendidikan Markas 2 Divisyen, Kem Tun Razak, Bayan Lepas dekat sini.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Semasa prosiding berlangsung, pihak pendakwa raya memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut bersama beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh meminta tiada jaminan berbayar dikenakan terhadapnya kerana dia perlu menanggung keenam-enam anaknya yang masih belajar.

Pada masa sama, tertuduh juga mendakwa dia menghidap beberapa penyakit termasuk darah tinggi yang memerlukan kos rawatan tinggi.

Zulhazmi kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi kes tersebut sepanjang perbicaraan berlangsung, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sekurang-kurangnya sekali sebulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Zulhazmi turut menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu proses serahan dokumen serta lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya