KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan bahawa tindakan menyerahkan tanah kolam takungan banjir kepada pemaju merupakan satu keputusan yang kurang bijak.
Menurutnya, walaupun laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mendapati tiada unsur rasuah dalam transaksi namun ia tetap bukan keputusan yang baik.
“Walaupun sesuatu perkara itu tiada unsur rasuah, ini tidak bermakna transaksi tersebut adalah transaksi yang bagus.
“Keputusan untuk memberikan (tanah) kepada pemaju dan mengurangkan badan air
sebanyak 70 peratus adalah keputusan kurang bijak.
“Saya boleh nyatakan ini keputusan bodoh,” katanya kepada pemberita selepas melawat Program Komuniti KL Bebas Asap Rokok (KLBAR) di ibu negara, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Hannah masih menunggu hasil siasatan SPRM berhubung isu pengurusan kolam takungan banjir sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Ahli Parlimen Segambut itu memaklumkan laporan sudah dibuat sejak beliau masih menjadi pembangkang iaitu pada tahun 2021 dan sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Mengulas kenyataan Hannah, semalam, SPRM juga memaklumkan bahawa pihaknya menerima keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara, selepas siasatan dijalankan agensi itu pada 2022.
Menurutnya, keputusan tiada unsur rasuah dikenal pasti dan NFA itu diterima oleh SPRM selepas siasatan berkenaan dirujuk kepada TPR pada 2023.
SPRM berkata, siasatan yang dijalankan adalah oleh agensi itu membabitkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara termasuk di Taman Wahyu bagi tujuan pembangunan.
Dalam pada itu, Hannah berkata, keputusan penyerahan itu amat tidak masuk akal memandangkan Kuala Lumpur sedang berdepan masalah kekurangan tanah yang serius serta ancaman banjir kilat setiap tahun akibat hujan lebat.
Katanya, prosedur di atas kertas mungkin nampak teratur menerusi mesyuarat rasmi, namun realiti yang dihadapi warga kota di lapangan adalah sebaliknya.
“Sekarang ini setiap kali hujan, kita berhadapan dengan isu banjir kilat di Kuala Lumpur dan banjir besar pernah berlaku.
“Tanah untuk infrastruktur awam seperti kolam takungan air tidak boleh sewenang-wenangnya (diserahkan) dalam bilik mesyuarat tanpa melihat situasi sebenar di luar,” katanya.
Mengulas mengenai laporan baru akan dibuat kepada SPRM, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan agensi pencegah rasuah itu terlebih dahulu.
“Saya nak dapatkan lebih banyak maklumat daripada mereka dulu. Kita akan adakan perjumpaan dengan mereka dan kalau SPRM akan bagi kita laporan jelas, saya yakin mereka akan bagi juga saranan penambahbaikan.
“Itu yang kita nak pastikan kita laksanakan supaya pada masa hadapan tak ada lagi benda-benda macam ni berlaku,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap SPRM menerusi kepimpinan baharu ini dapat menyiasat kes-kes melibatkan kepentingan awam dengan lebih pantas serta memaklumkan hasil siasatan kepada rakyat secara telus. – UTUSAN










