PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mencatatkan kemajuan dalam usaha peralihan tenaga selain memudah cara aspek menjalankan perniagaan di negara ini.
Memetik laporan Bernama, beliau turut menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan dasar lebih baik serta jelas berkaitan aspek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kemajuan teknologi.
Katanya, Malaysia muncul antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang menggerakkan usaha RE dengan Sarawak sebagai hab tenaga utama dan membekalkan tenaga kepada ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.
“Malaysia turut terlibat dalam perdagangan tenaga rentas sempadan pertama di rantau ASEAN di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura untuk mengukuhkan Grid Tenaga ASEAN,” katanya ketika berkongsi usaha itu dengan kumpulan pemimpin industri pada sesi meja bulat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi, semalam.
Pada sesi itu, beliau turut meyakinkan pemimpin industri itu bahawa Malaysia adalah negara mesra perniagaan, termasuk langkah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“NIMP membentangkan hala tuju jelas mengenai apa yang perlu dilaksanakan dan kejelasan sedemikian adalah wajar untuk kemudahan menjalankan perniagaan. Ini penting bagi memastikan kita kekal kompetitif,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia adalah peneraju dari segi teknologi baharu dalam industri mikrocip serta semikonduktor membabitkan kalangan negara-negara sedang pesat membangun.
Jelasnya, ini termasuk langkah pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, Infineon Technologies AG membuat pelaburan tambahan sehingga lima bilion Euro untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200 millimeter (mm) terbesar dunia di Malaysia.
Dalam pada itu, beliau juga berkongsi rasa optimis bahawa Malaysia kini di landasan tepat untuk mengulangi pencapaian ekonomi yang mantap sepertimana pada 90-an, bersama-sama dengan negara ASEAN.
“Ini bermakna, kita perlu melakukan apa yang sewajarnya untuk berdaya saing agar ekonomi dan rakyat kita mendapat manfaat daripada dasar serta inisiatif berkenaan.
“Apabila ke Malaysia, anda boleh saksikan sendiri perubahan berbanding pada lima, tiga atau dua tahun lalu.
“Saya juga ingin tegaskan satu perkara, keadaan sekarang jauh lebih baik serta mudah untuk menjalankan perniagaan kerana wujudnya keazaman lebih jelas dan kepemimpinan yang efektif bagi memastikan kita dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Hadir sama pada sesi itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr. Thani Ahmed Al Zeyoudi.
Sementara itu, Anwar menerusi status di Facebooknya berkata, beliau mengadakan mesyuarat terawal dengan Menteri Pelaburan UAE, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADQ, Mohamed Hassan Al Suwaidi di Abu Dhabi.
Beliau dimaklumkan bahawa ADQ merupakan syarikat pelaburan berfokuskan kelestarian yang berpangkalan di sana.
Beliau yakin Malaysia akan mendapat manfaat besar daripada menjadi sebahagian daripada destinasi pelaburan masa depan ADQ sekali gus memasarkan Malaysia sebagai pangkalan atau hab mereka ke pasaran ASEAN.
“Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-UAE sememangnya kukuh dari dahulu lagi, dan saya berharap pertemuan ini bakal menguatkan lagi hubungan antara kita.
“Saya yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga sedang bertiwikrama (berusaha) dalam menambah baik landskap pelaburan dan perdagangan di Malaysia,” katanya.-UTUSAN










