SHAH ALAM: Armada Selangor mahu 50 peratus calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang merupakan orang muda bagi memastikan parti memperoleh sokongan belia.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Selangor, Hafizan Naimman Jeesin berkata, imej parti pada mata orang muda merupakan penentu masa depan Bersatu.
Beliau berkata, Bersatu bukan sahaja perlu inklusif untuk semua kaum tetapi turut pada pelbagai lapisan umur.
“Kita mesti tampilkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya, calon yang segar dengan idea, tegas dengan prinsip dan bertenaga untuk berkhidmat.
“Armada Selangor menuntut supaya 50 peratus calon yang dikemukakan dalam pilihan raya akan datang mesti terdiri dalam kalangan anak muda. Ini adalah keperluan dan semangat zaman kerana undi besar sedang menanti,” katanya dalam sesi perbahasan di Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Hafizan yang juga Ketua Armada Bersatu Sepang berkata, generasi muda mahukan politik yang menawarkan kestabilan, prinsip dan penyelesaian kepada masalah sebenar rakyat.
Katanya, keadaan itu membuka peluang kepada Bersatu untuk tampil sebagai parti kebangsaan yang lebih matang, rasional dan berani dalam membawa agenda masa depan.
“Bersatu mesti tampil sebagai sebuah parti kebangsaan yang matang, parti yang boleh memimpin dengan stabil, berfikir dengan rasional dan bertindak dengan berani,” katanya.
Beliau berkata, ruang kepada anak muda tidak boleh terhenti pada jemputan berucap di pentas, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghargaan terhadap bakat, pendengaran terhadap suara mereka dan peluang sebenar untuk memimpin.
“Di Selangor khususnya, kita mesti tampilkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya, calon yang segar dalam idea, tegas dengan prinsip dan bertenaga untuk berkhidmat,” katanya.
Tambahnya, Bersatu Selangor perlu membaca perubahan politik generasi baharu dengan lebih serius kerana undi anak muda di negeri itu sedang menilai sejauh mana parti benar-benar ikhlas menghargai mereka.
Beliau berkata, sekiranya anak muda tidak mengenali Bersatu, citra perjuangan parti itu akan semakin kabur dan sukar diterima sebagai wadah masa depan.
“Masa depan Selangor juga akan tempang sekiranya golongan muda terus terpinggir daripada agenda ekonomi, kepimpinan dan perpaduan negeri.
“Anak muda di luar sana ada soalan untuk kita, apa kamu buat untuk aku, dan jawapan kita kena berani, tegas dan jelas bahawa Bersatu ada untuk mereka,” katanya.-UTUSAN










