Majlis Raja-Raja Melayu bersidang esok tentukan Yang di-Pertuan

Majlis Raja-Raja Melayu bersidang esok tentukan Yang di-Pertuan Agong Ke-17

SULTAN Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, esok akan bersidang bagi urusan menentukan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pemilihan itu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan penggal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dalam satu istiadat penuh gilang gemilang di Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Raja-Raja Melayu dijadual berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, Jumaat ini bagi urusan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada 22 dan 23 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Ibrahim turut ber­kenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMAD) di Dataran Utama.

Baginda berkenan menanam pokok Mentega di pekarangan Istana Negara sebagai simbolik mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Al-Sultan Abdullah turut berke­nan menyempurnakan upacara penanaman pokok itu.

KKU dan upacara penanaman pokok ialah cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah dilakukan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254, manakala upacara penanaman pokok kali pertama dilaksanakan pada mesyuarat ke-255.

Turut berangkat ke mesyuarat yang berlangsung dua hari bermula hari ini ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Sharafuddin; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Perlis oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri dan Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN