PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk membeli Boustead Plantations Bhd. (BPlant) pada harga tawaran RM1.55 sesaham.
Menurut kenyataan LTAT, ia berikutan Perjanjian Kerjasama Strategik (SCA) yang ditandatangani pada 24 Ogos 2023 telah ditamatkan secara bersama oleh Boustead Holdings Berhad (BHB) dan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berkuat kuasa kelmarin.
“Berikutan penamatan ini, LTAT ingin mengumumkan untuk meneruskan tawaran am BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, tertakluk kepada kelulusan kawal selia,” katanya.
Langkah LTAT itu dipercayai bagi memastikan pemilikan ekuiti bumiputera dapat ditingkatkan selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ia juga menamatkan isu pengambilalihan 33 peratus BPlant oleh KLK yang menarik perhatian banyak pihak termasuk parti politik.
Menurut laporan, LTAT dan BHB memegang sejumlah 68 peratus kepentingan dalam BPlant. Dan tawaran tersebut menyaksikan LTAT perlu membelanjakan sejumlah RM1.11 bilion untuk baki 716.8 juta saham yang ia belum memiliki.
Dalam pengumuman berasingan, BPlant menyatakan LTAT akan membuat Tawaran Am Mandatori (MGO) untuk mengambil alih BPlant sebagai syarikat persendirian pada harga tawaran yang sama iaitu RM1.55 sesaham seperti sebelum ini.
Susulan pengumuman itu juga, harga saham BPlant yang susut ketara pada Isnin dan kembali didagangkan pagi semalam, melantun kepada tahap tertinggi RM1.41 sebelum mengakhiri sesi dagangan pagi pada RM1.38 sesaham, naik 11 sen atau 8.66 peratus.
LTAT turut berkata, pihaknya dan BHB sebagai pemegang saham majoriti BPlant akan menumpukan usaha kepada penstrukturan semula syarikat bagi memastikan ia kembali kepada kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
“Untuk LTAT melaksanakan kewajipannya, mengikut mandat dan fungsi dana pencen yang mampan, adalah penting untuk isu warisan ditangani terlebih dahulu.
“Pendekatan ini membolehkan BPlant mengekalkan ketangkasan dan kebebasan dalam melakar hala tujunya sendiri dalam memastikan masa depan yang mampan,” menurut kenyataan itu.
Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman dalam kenyataan sama berkata, pihaknya komited dalam menangani semua isu warisan dalam Kumpulan BHB, selaras dengan Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25).
“Kami tetap yakin penstrukturan semula Kumpulan BHB akan meningkatkan kedudukan LTAT dengan ketara, terutamanya sejak hampir 50 peratus daripada pelaburan kami kekal dibuka dalam Kumpulan,” katanya.
Sementara itu, menurut KLK, akibat daripada penamatan itu, BHB hendaklah memulangkan deposit (bersamaan dengan jumlah RM229.15 juta) kepada KLK dalam tempoh 14 hari bekerja dari 4 Oktober 2023, atau tarikh lain yang dipersetujui.
Kedua-dua KLK dan BPlant berkata, penamatan SCA dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, pendapatan sesaham, aset bersih dan aset bersih sesaham syarikat masing-masing untuk tahun kewangan semasa mereka.
Urusniaga saham kedua-dua syarikat telah disambung semula semalam, selepas dua hari penggantungan pada Selasa dan Rabu.
KLK kini memegang 3.09 peratus kepentingan langsung dalam BPlant, berikutan pengambilalihan terakhirnya sebanyak 6.11 juta saham pada 29 September 2023.
Di bawah perjanjian dicadangkan, KLK telah merancang untuk melanjutkan tawaran am mandatori pada RM1.55 sesaham untuk BPlant bagi meningkatkan pegangan sahamnya kepada 65 peratus dan kemudiannya menyahsenarai syarikat itu.
Perjanjian itu akan menyaksikan LTAT dan BHB melupuskan 33 peratus kepentingan dalam BPlant pada harga RM1.15 bilion atau RM1.55 sesaham. LTAT dan BHB pula akan memegang baki 35 peratus selepas tawaran selesai, namun kini tidak lagi berfungsi. –UTUSAN










