KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) menegur Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana kelemahan agensi itu menyediakan dokumen perjanjian bagi projek 52 petak parkir di Menara SSM Sarawak boleh mengakibatkan kerugian.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 berkata, akibat kelemahan itu, SSM berpotensi menanggung kerugian sejumlah RM1.04 juta bagi nilaian 52 petak parkir yang masih belum disediakan di menara berkenaan.
Katanya, SSM perlu memastikan haknya terhadap 52 petak parkir di Menara SSM Sarawak dipenuhi oleh syarikat yang dilantik dengan segera bagi menarik minat bakal penyewa.
“Dalam masa yang sama, SSM perlu lebih teliti dalam penyediaan dan semakan dokumen perjanjian tambahan dengan memastikan butiran penting seperti klausa penyerahan 52 petak parkir oleh syarikat yang dilantik dinyatakan dengan jelas dan klausa penalti bagi kelewatan penyerahan 52 petak parkir itu dikuatkuasakan.
“SSM juga perlu memastikan cadangan pembelian semula 52 petak parkir pada harga RM20,000 seunit dalam tempoh 10 tahun oleh syarikat yang dilantik dalam perjanjian tambahan dikuatkuasakan bagi menjamin kepentingan SSM,” katanya dalam Laporan Ketua Audit 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.
SSM adalah antara lapan agensi persekutuan yang diaudit bagi Pengauditan Pematuhan yang mana secara keseluruhannya, berdasarkan skop dan sampel audit, terdapat ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan di agensi persekutuan itu yang menyebabkan berlakunya isu kehilangan hasil, pembayaran tidak teratur dan pengurusan berjumlah RM108 juta.
Wan Suraya menegaskan hasil pengauditan itu dikesan ketika Jabatan Audit melaksana audit bayaran pembelian empat bangunan SSM bagi tempoh 2016 hingga 2019.
Katanya, pengauditan itu penting bagi menentukan sama ada bayaran pembelian empat bangunan SSM dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi terma perjanjian, peraturan kewangan serta manual perolehan yang berkuat kuasa.
“Secara keseluruhannya, berdasarkan skop audit, pembelian bangunan itu sudah mencapai tujuan untuk digunakan sebagai pejabat dan operasi SSM. Namun, wujud potensi kerugian berjumlah RM1.04 juta bagi nilaian 52 petak parkir yang masih belum disediakan,” katanya. – UTUSAN










