NEW YORK: Belum sampai seminggu restoran milik Hugo Hivernat dibuka, beliau sudah ‘diheret’ ke dalam kancah kontroversi kos sara hidup di New York gara-gara meletakkan harga AS$40 (RM157) bagi hidangan separuh ayam panggang.
Bagi sesetengah pihak, harga tersebut menjadi simbol betapa mahalnya kos makan di luar rumah di salah sebuah bandar pusat kulinari dunia itu.
Bagaimanapun, Hivernat menyatakan kos operasi yang terlalu tinggi menyebabkan pengusaha restoran hampir tidak memperoleh sebarang keuntungan.
“Kami juga menjadi mangsa krisis kemampuan ini,” katanya kepada AFP ketika ditemui di Gigi’s, sebuah restoran kecil di kawasan kejiranan Brooklyn yang kini menjadi tumpuan.
“Mungkin orang sangka kami memandu Porsche ke pusat peranginan Hamptons pada hujung minggu hasil jualan ayam ini, tapi hakikatnya kami sama saja seperti orang lain di sini,” kata Hivernat, 36, yang sebelum ini mengendalikan restoran terkemuka di Paris.
Isu kos sara hidup kini menjadi kebimbangan utama di seluruh Amerika Syarikat (AS), terutamanya di New York. Menurut laporan badan pemerhati kewangan pada Februari lalu, harga menu di bandar itu melonjak 43.6 peratus dalam tempoh sedekad sehingga 2023, melebihi purata kebangsaan.
Hivernat menjelaskan bahawa harga yang ditetapkan itu adalah mengikut piawaian industri. Beliau memperincikan bahawa 25 peratus daripada hasil jualan tersebut digunakan untuk bahan mentah termasuk ayam berkualiti tinggi dari kawasan pedalaman New York manakala bakinya digunakan untuk membayar sewa, bil, gaji kakitangan dan perbelanjaan lain.
Lebihan kecil yang ada pula digunakan untuk membayar hutang mencecah AS$500,000 (RM1.9 juta) yang dipinjam bagi membuka restoran berkenaan.
Kontroversi ayam tersebut tular selepas seorang ahli politik tempatan memuat naik hantaran di Instagram yang menyatakan kekecewaan terhadap harga tersebut, sehingga mendapat lebih 9,000 tanda suka.
Susulan itu, sebuah portal makanan tempatan turut mewujudkan indeks harga separuh ayam yang menyenaraikan harga hidangan tersebut di seluruh bandar, bermula dari bawah AS$10 (RM39.49) sehinggalah mencecah AS$78 (RM308) di sebuah restoran Perancis di Manhattan. -AFP










