Pegawai polis guna kamera pengawasan intip bekas kekasih - Utusan Malaysia

Pegawai polis guna kamera pengawasan intip bekas kekasih

SEBUAH kamera pengawasan Flock. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang pe­gawai polis New York telah digantung tugas dan kini berdepan pertuduhan selepas didakwa menyalahgunakan sistem kamera pengawasan Flock untuk mengintip bekas teman wanitanya.

Laurie Moore, 47, seorang penyelidik kanan di Pejabat Syerif Daerah Albany, dituduh melakukan lebih 3,000 carian tanpa kebenaran ke atas kenderaan milik bekas pasangannya itu.

Beliau turut didakwa menjalankan lebih 1,000 carian lain menerusi sistem Flock yang melibatkan empat individu lain yang dikenalinya. Ia merupakan satu tindakan yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai pencabulan besar terhadap kepercayaan awam.

Syerif Daerah Albany, Craig Apple memaklumkan bahawa maklumat daripada pihak luar telah mencetuskan siasatan terhadap tingkah laku Moore dan beliau telah ditahan pada Rabu.

Apple menyatakan bahawa akses Moore ke atas sistem Flock dikesan bermula sekitar akhir tahun 2024. Apabila pihak piawaian profesional dan penasihat undang-undang dalaman memperluaskan skop audit, liputan sebenar kes salah guna ini mula terdedah, menurut laporan ABC13.

Syerif itu turut menambah bahawa siasatan berkenaan menyebabkan seorang kakitangan ‘dicutikan’. 

Apa yang berlaku di sini merupakan satu pencabulan terhadap kepercayaan itu.

“Bagi pihak kami, saya memohon maaf secara jujur. Ini juga membuktikan bahawa sekiranya seseorang menyalahgunakan kepercayaan berkenaan, kami akan menuntut mereka bertanggungjawab,” kata Apple.

Beliau berasa amat kecewa dengan dakwaan pe­nyalahgunaan sistem Flock itu. Ini berikutan beliau sebelum ini merupakan penyokong kuat program itu bagi membantu pihak penguatkuasaan un­dang-undang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×