Pakai baju putih tidak semestinya berkahwin- Scha Elinnea - Utusan Malaysia

Pakai baju putih tidak semestinya berkahwin- Scha Elinnea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon,Scha Elinnea mengakui menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga seperti kebanyakan wanita lain namun buat masa ini memilih untuk memberi tumpuan penuh terhadap kerjaya seni terlebih dahulu.

Menurut Scha atau nama penuhnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, soal perkahwinan sememangnya berada dalam perancangannya, namun kesibukan kerja serta komitmen mencari rezeki menjadi keutamaan ketika ini.

“Saya memang ada keinginan untuk berkahwin, tetapi sekarang lebih sibuk bekerja dan mencari rezeki,” katanya ketika ditemui pada program MeleTOP, semalam.

Pelakon drama Isteri Rahsia Ungku Jabbar itu turut menjelaskan bahawa dia tidak pernah menetapkan sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga.

Katanya, soal jodoh adalah ketentuan Allah dan dia percaya segalanya akan berlaku pada waktu yang paling tepat.

“Saya tidak letak sasaran umur. Insya-Allah, kalau sudah sampai jodoh dan masa yang sesuai, saya berkahwin,” ujarnya.

Mengulas mengenai kapsyen ‘bye nak kahwin’ yang dimuat naik menerusi Instagram Story miliknya, Scha menjelaskan ia hanyalah sekadar gurauan dan tidak seharusnya disalah tafsir.

Menurutnya, pemakaian busana berwarna putih juga tidak semestinya membawa maksud seseorang itu bakal berkahwin.

“Pakai baju putih tidak semestinya berkahwin. Saya cuma bergurau, tambahan pula ketika itu baru pulang dari sebuah program di Mid Valley Megamall,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN